Dalam peringkat KBS kita telah gazetkan e-sports sebagai sukan – Hannah Yeoh
Menteri Kementerian Belia Dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh memberitahu bahawa pihaknya sudah pun mengazekan e-sports sebagai salah satu sukan dalam Akta Pembangunan Sukan.
“Memang kita tahu e-sports semakin popular di kalangan golongan belia. Beza kali ini adalah dalam peringkat KBS, kita telah gazekan e-sports sebagai salah satu sukan dalam Akta Pembangunan Sukan.
Jadi sekarang dalam senarai 103 sukan itu e-sports sudah diiktiraf sebagai sukan,”
katanya.
Tambah Hannah lagi, perkembangan terbaru ini adalah satu perkara yang cukup baik untuk e-sports negara dan pihaknya akan terus bekerja rapat dengan komuniti e-sports.
Beliau juga sudah bertemu dengan pihak penaja e-sports untuk membincangkan mengenai industri e-sports di Malaysia.
“Jadi kami di peringkat KBS akan terus engage dengan mereka untuk pastikan aktiviti KBS ini kita akan selalu masukkan komuniti e-sports bersama kerana komuniti ini sangat besar dan extensif.”
Hannah berkata demikian selepas menghadiri Grand Final Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL MY) musim ke-11 di Stadium Juara, Bukit Kiara.
Dalam pada itu, bagi memastikan Malaysia terus melahirkan ramai bakat-bakat dalam sukan e-sports ini, Hannah berkata KBS akan melancarkan program Rakan Muda.
“Yang akan datang ini kita akan melancarkan program Rakan Muda di peringkat KBS yang mana memang dalam komponen penting program Rakan Muda adalah e-sports.”
Jelasnya lagi, pihaknya akan memastikan komuniti e-sports tidak akan tersisih dari komuniti sukan dan belia.
Sementara itu, Hannah berkata dengan industri e-sports semakin besar negara akan mempunyai ramai bakat baru, oleh itu sokongan penuh harus diberikan untuk mereka bangunkan bakat-bakat ini.