Kejayaan julang kejuaraan MPL MY musim ke-11 akan beri Todak peluang untuk tembus kekecewaan di peringkat antarabangsa

219

Saingan Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL MY) musim ke-11 sudah pun melabuhkan tirainya apabila pasukan Todak telah berjaya menewaskan Team SMG 4-0 pada perlawanan akhir petang tadi.

Gold Laner untuk pasukan Todak, CikuGais menganggap kemenangan ini sebagai peluang untuk mereka tebus kekecewaan di peringkat antarabangsa sebelum ini.


“Kalau saya sebagai pemain sejujurnya saya mahu tebus balik kegagalan kami di peringkat antarabangsa.

Jadi insyaAllah di peringkat antarabangsa nanti kami akan buat yang terbaik dan cuba perbetulkan kesilapan-kesilapan kecil kami,”

katanya.

Kejayaan menjulang kejuaraan MPL MY musim ke-11 ini adalah kejuaraan ketiga buat pasukan Todak.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Juara petang tadi, Todak tidak berdepan saingan sengit daripada SMG sebaliknya mereka memperlihatkan kehebatan mereka apabila mendominasi permainan sejak perlawanan pertama.

Susulan kejayaan ini, Todak akan mewakili Malaysia yang mana mereka selepas ini akan berentap di MSC World Championship – Mobile Legends: Bang Bang.

Dalam pada itu, CikuGais juga tidak menjangka bahawa mereka akan menang dengan mudah namun tetap gembira apabila tidak perlu mengheret permainan sehingga ke perlawanan ketujuh.

“Sejujurnya saya tak jangka yang keputusan akan 4-0. Saya ingat mereka akan tukar strategi pada perlawanan ketiga tapi tidak.”

Sementara itu, beliau berkata mereka selepas ini mereka akan membawa pulang trofi ke kediaman pengasas Todak yang dikenali sebagai Lan Todak untuk meraikan kejayaan mereka menjuarai MPL MY musim ke-11.