Semoga satu hari nanti Malayan Tigress akan menjadi seperti pasukan Thailand – Petronella Douny

111

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita B-17, Petronella Douny terpaksa akur apabila pasukannya tewas besar 11-0 kepada Thailand dalam perlawanan terakhir pusingan pertama kelayakan Piala Asia Wanita B-17 sebentar tadi.

Menurut Petronella, keputusan ini sudah pun dijangka kerana semua sedia maklum bahawa pasukan bola sepak wanita Thailand adalah sebuah pasukan berkelas dunia dan sudah jauh meninggalkan Malaysia.


“Ya seperti yang kita memang jangka, pasukan Thailand ini adalah sebuah pasukan berkelas dunia. Kekalahan ini bukan bererti kita akan berhenti sebaliknya kita akan terus berusaha lagi.

Semoga satu hari nanti pasukan negara akan menjadi seperti pasukan Thailand yang cukup baik,”

katanya.

Beliau turut mengakui bahawa pasukan lawan lebih bersedia berbanding pasukannya, namun beliau tidak mahu anak buahnya berputus asa sebaliknya mereka harus belajar dari kekalahan ini untuk menjadi lebih baik.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar penyokong akan teruskan sokongan kepada mereka.

“Kepada penyokong-penyokong teruslah menyokong dan beri sokongan positif kepada pasukan negara.”

Kekalahan ini menyaksikan skuad negara gagal layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Asia B-17 2024.

Terdahulu Malayan Tigress bermula dengan langkah kanan apabila membelasah Kepulauan Mariana Utara 5-1 dalam perlawanan pertama.