Haru akui terlampau letak tekanan pada diri sendiri jadi punca kekalahan kepada Todak

195

Jurulatih Team SMG, Haru mengakui kekalahan kepada Todak adalah kerana mereka terlalu meletak tekanan terlalu tinggi terhadap diri sendiri sehingga tidak dapat bermain gaya permainan biasa.

Dalam perlawanan Grand Final Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL MY) musim ke-11 yang berlangsung petang tadi, pasukan Todak mudah menewaskan SMG dengan skor 4-0 untuk mengesahkan kejuaraan mereka untuk musim ini.


“Penat bukan punca! Kami banyak letak tekanan dekat diri sendiri dan tak main seperti biasa,”

katanya.

Haru bagaimanapun tetap bangga dengan pencapaian pasukannya untuk musim ini yang disifatkan lebih baik berbanding musim lalu.

“Terdapat peningkatan prestasi pada musim ini jika hendak dibandingkan dengan MPL MY musim lalu. Walaupun pada awalnya sedikit goyah, tetapi pada peringkat playoff prestasi kami sangat baik.

Mungkin pasukan mana yang mempunyai mental yang kuat akan menjadi pemenang.”

Beliau berkata bahawa pasukannya akan kembali tampil dengan lebih baik pada musim hadapan untuk mencapai sasaran mereka dan berharap peminat akan terus memberi sokongan kepada mereka.

“Kepada peminat Team SMG, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda menyokong kami sejak hari pertama sehingga ke Grand Final dan kami berharap anda akan terus beri sokongan kepada kami pada musim-musim akan datang.”

Dalam pada itu, Smooth yang bermain sebagai Exp Laner turut mengakui kekalahan mereka pada petang tadi berpunca dari tekanan yang mana ia telah menjejaskan perancangan mereka.

“Kami semua okay, cuma mungkin ada sedikit gangguan di fikiran kami dan rasa tekanan, dan oleh sebab itu ia sedikit sebanyak menyebabkan kita sukar untuk mencapai sasaran yang kita mahukan.”

Sementara itu, Haru turut sempat mengucapkan tahniah kepada Todak atas kejayaan mereka menjuarai MPL MY musim ini dan berharap mereka dapat mengharumkan nama negara di MSC World Championship – Mobile Legends: Bang Bang nanti.

“Kepada Todak, saya harap anda akan buat yang terbaik apabila mewakili Malaysia di MSC nanti harap Todak dapat bawa pulang trofi musim ini.”