Floorball wanita janji bawa pulang satu pingat untuk Malaysia di Sukan SEA 2023

248

Temasya Sukan SEA 2023 bakal membuka tirainya beberapa hari sahaja lagi dan pasukan kebangsaan Floorball wanita kini sedang rancak membuat persiapan akhir sebelum terbang ke Kemboja pada 7 Mei ini.

Menurut pengurus pasukan Nor Saliza Ahmad Soobni, pasukannya yang sudah membuat persiapan sejak beberapa bulan lalu kini berada pada tahap terbaik dan sudah bersedia untuk turun beraksi.


Beliau pada masa sama turut menyuarakan keyakinannya terhadap kemampuan pasukannya untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat untuk kontinjen negara kali ini.

“Kita sudah jalani kem latihan pusat sejak bulan puasa lagi sehingga saat ini yang mana kita berada pada fasa terakhir sebelum kita berangkat ke Kemboja.

Saya yakin jurulatih dan pemain saya sudah buat yang terbaik dan bersedia untuk beraksi di Sukan SEA.

Kita janjikan sekarang ini paling tidak pun memang kita mahu bawa pulang satu pingat. Kalau kita dapat lebih dari pingat gangsa ia adalah satu bonus,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Acara Floorball wanita adalah antara sukan yang dijangka akan menyumbang pingat buat kontinjen Malaysia di temasya dwi tahunan ini berikutan pencapaian mereka berjaya memperoleh pingat gangsa pada edisi lalu.

Pada Sukan SEA 2019 di Manila, skuad negara berjaya menewaskan pasukan Filipina 1-0 dalam aksi penentuan pingat gangsa.

Dalam pada itu, Nor Saliza turut mengucapkan terima kepada pihak Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) yang telah menaik taraf kategori sukan Floorball dari Kategori B kepada Kategori A.

“Kita sangat bersyukur dinaik taraf dari Kategori B kepada Kategori A. Saya mewakili Floorball Malaysia berterima kasih kepada pihak KBS, MOM (Majlis Olimpik Negara) dan MSN (Majlis Sukan Negara) kerana memberi mandat dan percaya pada Floorball serta beri kami peluang untuk berada dalam Kategori A.

Pastinya ia datang dengan tanggungjawab yang besar yang mana kita bawa sekurang-kurangnya satu pingat untuk negara.”

Bagi yang tidak mengetahui, perbezaan antara kedua-dua kategori ini adalah bagi Kategori A pihak MOM akan menanggung kesemua kos penyertaan, manakala untuk Kategori B pula ditanggung sendiri oleh atlet atau persatuan sukan, tetapi akan dibayar balik sekiranya mereka berjaya bawa pulang pingat.

Sementara itu, beliau turut mengakui terdapat peningkatan terhadap minat sukan Floorball dalam kalangan anak-anak muda selepas kejayaan pada tahun 2019.

Disebalik sambutan positif, beliau turut berharap dapat menarik lebih ramai lagi pemain-pemain baru yang akan menjadi pelapis untuk masa hadapan.

Nor Saliza turut mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menceburi sukan Floorball ini untuk turut serta dan jika mereka tidak tahu bagaimanapun hendak terlibat boleh menghubungi mereka di media sosial rasmi Floorball Malaysia.