Mahu cipta kejayaan di Sukan SEA 2023 supaya lebih banyak program Floorball dapat dianjurkan
Bagi peminat sukan tanah air, mungkin ramai yang tidak tahu atau sedar akan kewujudan sukan Floorball di Malaysia ketika ini walaupun ia sebenarnya sudah bertapak di negara sudah lebih sedekad.
Floorball adalah sebuah sukan yang menyerupai seperti sukan hoki ais ini adalah antara sukan yang kurang popular di negara tetapi berjaya menyumbang pingat terutamanya di Sukan SEA.
Untuk memastikan sukan Floorball dapat dipopularkan di seluruh negara, pemain kebangsaan Nur Syafiqah Mohd Zain meletak sasaran untuk pasukannya mengulangi kejayaan mereka memperoleh pingat gangsa di Sukan SEA 2019 di Manila dapat dicapai pada temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja pada bulan ini.
“Kalau nak tanya sasaran saya adalah nak bantu Floorball dengan memperoleh pingat pada temasya kali ini supaya membuka mata MSN (Majlis Sukan Negara) dan MOM (Majlis Sukan Olimpik) untuk anjurkan program Floorball seperti sukan-sukan lain,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pada edisi lalu, skuad negara berjaya menewaskan pasukan Filipina 1-0 dalam aksi penentuan pingat gangsa.
Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai persiapan pasukan negara menjelang temasya dwi tahunan itu yang akan membuka tirainya beberapa hari sahaja lagi, ketua pasukan Cheah Pei Yi berkata pasukannya kini sudah 100% bersedia.
“Kita sudah lama menjalani latihan pusat dan kesemua pemain kini berasa cukup yakin untuk temasya Sukan SEA kali ini.
Persiapan pasukan sudah 100% dengan setiap pemain sudah bersedia dari segi mental dan fizkal.”
Pei Yi juga berkata temasya kali ini lebih mencabar dari edisi lalu kerana pada tahun ini ada pasukan yang akan menggunakan pemain ‘import’ (yang mempunyai dwi passport) dari Eropah.
Mengakui terdapat perbezaan ketara dari segi size fizikal, beliau enggan menjadikan perkara itu sebagai penghalang utama untuk mereka tidak mempamerkan aksi terbaik, sebaliknya akan menggunakan saiz fizikal sebagai satu kelebihan.
“Memang cabaran yang besar sekali kerana sebab kita pemain Asia jadi kita pendek sedikit berbanding orang Barat yang lebih tinggi dan besar, tapi kalau melihat dari sudut positif kita yang pendek ini akan jadi lebih laju.”
Perkara itu turut dipersetujui oleh Syafiqah yang berkata pemain bertubuh kecil seperti mereka boleh menggunakan kelincahan dan kepantasan untuk mengimbangi saiz fizikal pemain lawan.
Skuad negara dijadualkan akan terbang ke Kemboja pada 9 Mei ini.