Kita bukan saja tekankan persiapan dalam padang tetapi juga di luar padang – Soleen Al-Zou’bi
Ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita kebangsaan, Soleen Al-Zou’bi menegaskan bahawa beliau bukan sahaja melakukan persediaan dalam padang untuk skuad Malayan Tigress tetapi turut memberi penekanan kepada perkara di luar padang.
Beliau berkata persediaan di luar padang seperti pemakanan, masa tidur, pemulihan dan lain-lain adalah penting dalam membentuk sebuah pasukan yang bagus.
“Kita sedang membina persekitaran berprestasi tinggi dari segi pemakanan, masa tidur, pemulihan, tabiat dan sebagainya, yang boleh memberi kesan kepada prestasi di atas padang.
Kita banyak lakukan kerja di dalam dan juga luar padang, ada program mental untuk mereka semua sebab bukan mudah untuk mempersiapkan pasukan dalam tempoh yang singkat,”
katanya.
Beliau berkata bahawa ini merupakan permulaan dan para pemain menunjukkan mereka mempunyai potensi untuk menjadi sebuah pasukan yang bagus.
Sementara itu, beliau mengakui bahawa para pemain merasa gementar untuk beraksi dalam Sukan SEA kali ini, lebih-lebih lagi diundi dalam kumpulan maut bersama-sama dua pasukan Piala Dunia iaitu Vietnam dan Filipina.
“Mereka memang gementar dan ada bertanya kepada saya bagaimana mahu berdepan dengan pasukan yang kuat.
Saya katakan kepada mereka supaya tidak perlu risau dan berikan 100 peratus serta tidak putus asa, saya juga tekankan supaya kurangkan kesilapan kerana ini adalah perkara yang amat penting.”
Soleen berkata, sasarannya pada kejohanan itu adalah supaya anak-anak buahnya menunjukkan permainan yang bagus serta berjuang sebaik mungkin.
Skuad Malayan Tigress bakal memulakan aksi dalam Sukan SEA menentang Vietnam pada 3 Mei ini.