Saya nak jaringkan satu gol dulu untuk Malaysia, kalau berjaya cuba buat hatrik pula – Intanserah
Pemain bola sepak wanita negara, Intan Sarah Anisah mengakui beliau gementar untuk mewakili Malaysia buat kali pertama dalam sukan bola sepak.
Katanya, sebagai seorang penyerang, sudah tentu ramai yang meletakkan harapan kepadanya untuk menjaringkan gol, dan beliau berharap dapat bermain dengan baik buat Malaysia.
“Dah tentu saya gementar kerana ini pertama kali saya wakili Malaysia dalam bola sepak dan juga sebagai seorang penyerang orang akan letak harapan kepada saya untuk jaringkan gol.
Kita dah tentu tak nak pulang dengan kekecewaan, jadi harapan saya adalah saya dan rakan-rakan dapat mengimplementasi apa yang jurulatih sudah ajar kepada kami, kalau menang itu adalah bonus,”
katanya.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Intanserah berkata, mental mereka harus kuat untuk berdepan pasukan yang lebih kuat seperti Vietnam dan Filipina yang juga merupakan pasukan Piala Dunia pada Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Intan berharap dapat membantu Malaysia menjaringkan gol dan beraksi dengan baik pada kejohanan itu.
“Sasaran saya nak jaringkan satu gol dulu untuk Malaysia, kalau dah berjaya satu kita cuba buat hatrik pula, mana tahu kan.”
Sementara itu, beliau berkata bahawa skuad ini mempunyai persefahaman yang baik walaupun masih baru.
Intan berharap supaya semua rakyat Malaysia terus memberikan sokongan kepada bola sepak wanita dan percaya bahawa tahun ini akan menjadi permulaan buat bola sepak wanita untuk berkembang menjadi pasukan yang lebih kuat dan setaraf dengan negara-negara kuat Asia Tenggara lain.