Keputusan adalah kemudian, yang penting kita berikan persembahan terbaik – Steffi Sarge Kaur
Kapten pasukan bola sepak wanita kebangsaan, Steffi Sarge Kaur mengakui tugas berat menanti pasukan negara pada kejohanan Sukan SEA 2023 di Kemboja kerana diundi dalam ‘kumpulan maut’ bersama dua pasukan Piala Dunia iaitu Vietnam dan Filipina.
Katanya, mereka harus menunjukkan persembahan yang baik dan berjuang habis-habisan di atas padang tanpa mengutamakan keputusan.
“Kita tahu Vietnam dan Filipina adalah pasukan Piala Dunia, mereka pasukan yang sangat bagus dan sudah lakukan persiapan awal.
Apa yang penting nanti adalah kita berikan persembahan terbaik 100 peratus, itu yang kita boleh janjikan, keputusan adalah kemudian,”
katanya.
Steffi berkata bahawa taktikal pasukan negara kali ini berbeza di bawah kendalian ketua jurulatih, Soleen Al-Zou’bi, di mana beliau menerapkan gaya permainan moden serta taktikal baharu.
Beliau menganggap kombinasi pemain yang ada dalam skuad ini adalah baik dan suasana dalam kem begitu positif.
“Dengan gabungan pemain muda dan senior serta pemain futsal, saya rasakan ia satu kombinasi yang baik, ada semangat dan suasana yang positif dalam skuad ini.
Kita semua ada hubungan yang baik antara satu sama lain, ini adalah penting untuk bentuk persefahaman yang baik.”
Beliau berkata, ini adalah permulaan buat bola sepak wanita negara dan positif dengan peningkatan yang ditunjukkan.