Mukhairi Ajmal tak layan isu kelab ketika bersama Harimau Malaya, fokus raih pingat emas Sukan SEA

1,430

Pemain bola sepak skuad B-22 kebangsaan, Mukhairi Ajmal menegaskan apa-apa perkara yang melibatkan kelabnya, Selangor FC tidak mengganggu fokusnya dalam mempersiapkan diri untuk kejohanan Sukan SEA 2023.

Beliau berkata, apabila berada dalam kem kebangsaan, beliau akan menumpukan perhatian sepenuhnya dan tidak memikirkan tentang isu luar.


“Saya tak ambil kisah sangat dengan benda macam tu kerana apabila saya berlatih bersama pasukan kebangsaan saya hanya akan fokus kepada pasukan kebangsaan.

Walaupun orang kata macam-macam tetapi tumpuan dan fokus saya hanya bersama pasukan kebangsaan,”

katanya.

Beliau bertekad mahu membawa pulang pingat emas daripada bumi Kemboja selepas kecundang di peringkat separuh akhir pada edisi sebelum ini.

Sementara itu, Mukhairi berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan pasukan walaupun tidak menyertai pasukan sebelum ini ke Piala Merlion.

“Ramai pemain dalam skuad ini yang saya pernah bermain bersama, jadi dari segi keserasian itu saya rasa tiada banyak benda yang saya tertinggal.

Sebelum ini pun saya main dengan pasukan senior dan taktikal yang diterapkan adalah sama jadi tiada masalah bagi saya.”

Dalam pada itu, Mukhairi berkata, walaupun mereka akan terbang ke Kemboja esok hari dan turun pada perlawanan pertama lusa, ia tidak akan mengganggu kecergasan mereka.

Beliau berkata, sebagai pemain mereka sudah biasa dengan perkara seperti itu dan akan memastikan masing-masing mendapatkan rehat yang mencukupi.

Harimau Malaya akan memulakan kempen Sukan SEA 2023 menentang Laos pada 3 Mei ini.