Kebijaksanaan Pickford hadapi penalti boleh jadi ilham bagi penjaga gol B-22 di Sukan SEA
Baru-baru ini, penjaga gol Everton, Jordan Pickford mendapat perhatian netizen-netizen komuniti bola sepak antarabangsa, oleh sebab nota yang ditampal pada botol airnya ketika perlawanan menentang Leicester City.
Notanya mempunyai nama-nama pengambil sepakan penalti Leicester City serta analisis jangkaan sepakan yang akan dilakukan oleh mereka.
Hasilnya, beliau berjaya menepis sepakan penalti James Maddison, yang menjadi insiden penting dalam perlawanan itu, yang berakhir 2-2 dan membantu Everton untuk mendapat satu mata berharga.
Dengan persediaan yang menyeluruh oleh jurulatih penjaga gol dan Pickford itu, ia boleh menjadi Ilham kepada penjaga-penjaga gol B-22 negara yang akan beraksi di temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja, lebih-lebih lagi jika mereka masuk ke pusingan kalah mati.
Jika skuad ini akan berdepan dengan sepakan penalti dalam pusingan kalah mati, persediaan menyeluruh ini boleh membantu dua penjaga gol negara, Sikh Izhan dan Azim Al Amin untuk menghadapi sepakan penalti dengan lebih yakin.
Jurulatih penjaga gol B-22 perlu ambil iktibar dan menganalisis pengambil sepakan penalti pihak lawan untuk membantu penjaga gol negara jika berdepan sepakan penalti.
Pihak lawan juga pastinya ada yang sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan sepakan penalti, pada kejohanan itu termasuklah daripada pemain-pemain negara.
Justeru, analisis oleh barisan kejurulatihan serta persiapan penjaga gol negara sendiri adalah amat penting untuk memastikan Malaysia juga melakukan perkara yang sama.
Lebih-lebih lagi, penjaga gol adalah antara individu yang boleh menentukan kemenangan atau kekalahan pasukan dalam sesebuah perlawanan, jadi jika Malaysia berhasrat untuk memastikan pingat emas Sukan SEA 2023 berjaya dibawa pulang, ini adalah antara perkara utama yang harus diberi perhatian.