Mickey dan Wak Am sebenarnya tiada masalah, penyokong yang lebih-lebih jadi batu api

601

Pemain veteran Sabah FC, Amri Yahya menjadi bahan bualan peminat-peminat Selangor FC apabila didapati membuat sambutan ‘Siuu’ yang sinonim dengan pemain sayap Red Giants, Faisal Halim selepas tamat perlawanan antara kedua-dua pasukan baru-baru ini.

Ramai peminat Selangor ‘panas’ dan tidak puas hati dengan kelakuannya yang dianggap kurang profesional kerana dikatakan mahu menyindir Faisal dengan gaya sambutan tersebut.


Namun, Faisal dan Amri telah menenangkan situasi tersebut selepas memuatnaik Instastory yang menunjukkan mereka berdua berpelukan selepas perlawanan itu berakhir dengan kapsyen ‘Selamat Hari Raya’.

Selepas sering dikecam oleh sebilangan penyokong Selangor sejak kebelakangan ini, pasukan Sabah ada memuatnaik satu video di laman sosial mereka yang menunjukkan beliau sememangnya seorang yang sentiasa ceria atau happy-go-lucky dan sering menghiburkan rakan sepasukan.

Justeru, tindakan beliau selepas perlawanan menentang Selangor tempoh hari mungkin salah satu cara beliau berhibur dengan rakan sepasukan, namun disalah tafsir oleh orang ramai yang menganggap ia seperti mengejek Faisal dan Selangor.

Tindakan ‘troll’ atau usik-mengusik dalam bola sepak adalah perkara biasa, bukan sahaja dalam kalangan peminat tetapi juga pemain, tetapi di luar padang kebiasaannya pemain bersikap profesional dan tidak menyimpan dendam.

Itulah apa yang berlaku dalam kes Amri dan Faisal ini, namun ia diperbesar-besarkan oleh para penyokong yang lebih emosi, di mana penyokong sepatutnya tidak perlu terlalu sakit hati dengan gurauan antara pemain seperti itu,.

Amri sendiri merupakan bekas pemain yang banyak berjasa untuk bola sepak Selangor dan pernah memenangi kejuaraan treble bersama pasukan itu pada 2005.