Lee Zii Jia luah perasaan melalui lagu rap, beri bayangan sedang kecewa dengan prestasi tak menentu

582

Baru-baru ini pemain badminton negara Lee Zii Jia menarik perhatian peminat selepas memuat naik lagu rap buatannya, yang seakan-akan meluahkan perasaannya di media sosial Douyin.

Perkara itu mungkin disebabkan beliau sering menerima kritikan daripada banyak pihak sejak kebelakangan ini berikutan prestasi tidak menentunya di pelbagai kejohanan.


Prestasi Zii Jia menurun dan baru-baru ini beliau baru sahaja tersingkir dari Badminton Asia Championship di Dubai.

Dengan kekalahan itu, beliau dijangka akan turun ke tangga ke-8 dunia dalam ranking BWF dan ramai peminat yang mula rasa risau dengan keadaan beliau, lebih-lebih lagi beliau merupakan salah satu harapan negara dalam Sukan Olimpik tahun depan.

Dalam lagu tersebut, terdapat bait-bait lirik seperti “I’m starting to wonder whether I still need to move forward? I ask myself everyday, do I regret making those decisions? I have to pretend that I’m ambitious, otherwise what do you want me to do?” yang seakan-akan beliau sedang memberi satu ‘hint‘ mengenai situasinya.

Selepas sering dikritik, mungkin itu adalah caranya untuk melepaskan tekanan dan perasaannya kerana sering menjadi ‘sasaran’ apabila tewas.

Jika dengan meluahkan perasaannya melalui lagu dapat membuatkan dirinya lebih tenang, itu adalah perkara yang baik supaya beliau mampu kembali dengan mental dan emosi yang lebih baik.

Peminat-peminat juga haruslah sentiasa memberi sokongan di saat beliau jatuh ketika ini dan tidak terlalu keras dalam melemparkan kecaman ke atasnya atau melakukan buli siber.

Apa pun, beliau masih lagi merupakan pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu negara dan merupakan salah satu prospek pingat emas pada Sukan Olimpik Paris tahun depan.

Justeru, walau bagaimana teruk pun prestasinya ketika ini, beliau memerlukan sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia.

Mungkin beraksi tanpa tekanan dan harapan tinggi selepas ini mampu mengembalikan prestasi beliau ke tahap seperti dahulu.