Soleen Al-Zou’bi bangga jadi satu-satunya ketua jurulatih wanita dalam bola sepak di Sukan SEA 2023

277

Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita kebangsaan, Soleen Al-Zou’bi berbangga menjadi satu-satunya jurulatih wanita untuk skuad bola sepak wanita pada Sukan SEA 2023.

Beliau berharap ia akan menjadi inspirasi buat wanita-wanita lain untuk melibatkan diri dalam bola sepak wanita pada masa hadapan.


“Berada di sini buatkan saya rasa bangga, saya rasa ini boleh menjadi inspirasi untuk wanita di luar sana menjadikan bidang kejurulatihan sebagai satu karier.

Kita nak mempromosikan bola sepak wanita lebih lagi, bukan sahaja sebagai pemain tetapi jurulatih, pegawai, pengadil dan lain-lain,”

katanya.

Beliau berharap dapat melihat lebih ramai jurulatih wanita yang mengendalikan pasukan wanita dalam bola sepak Asia Tenggara pada masa depan.

Sementara itu, beliau melihat tahap antara pasukan Asia Tenggara dan Asia semakin mengecil, terutama selepas pasukan Vietnam dan Thailand melayakkan diri ke Piala Dunia.

Beliau berkata, lebih banyak pelaburan perlu dilakukan dalam bola sepak wanita di Asia Tenggara untuk bersaing di peringkat dunia.

“Saya lihat perkembangan bola sepak wanita di rantau ini begitu baik, kita tahu banyak pasukan Asia Tenggara sudah kurangkan jurang antara pasukan besar Asia.

Kejayaan dua pasukan dari rantau ini layak ke Piala Dunia memberi harapan kepada pasukan lain, kita boleh tingkatkan tahap dan perlu melabur lebih.”

Dalam pada itu, Soleen berkata bahawa persiapan pasukannya untuk menghadapi Sukan SEA 2023 adalah baik walaupun dalam tempoh singkat.

Katanya, sasaran beliau untuk Malaysia pada temasya tersebut adalah cuba bersaing sebaik mungkin dan mendapatkan pengalaman berharga menentang pasukan kuat.

Malayan Tigress akan memulakan kempen Sukan SEA 2023 menentang Vietnam esok pada pukul 4.30 petang waktu Malaysia.