Usaha FAM mahu bantu kelab pajak stadium jangan dipersia, peluang untuk kelab tempatan dapatkan ‘feel’ stadium sendiri
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil inisiatif yang baik dalam membantu kelab-kelab di Liga Malaysia mendapatkan pemilikan penuh stadium yang didiami ketika ini menerusi sistem pajakan.
Menurut laporan media, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya akan berbincang dengan Malaysian Football League (MFL) untuk memudahkan libat urus antara kelab dan kerajaan negeri, yang merupakan pemilik stadium-stadium yang digunakan oleh pasukan ketika ini.
Musim ini, hanya JDT sahaja yang memiliki stadium sendiri manakala kelab-kelab lain masih menggunakan stadium yang diuruskan oleh kerajaan negeri.
Justeru, ini adalah satu usaha yang baik daripada FAM dan MFL untuk meningkatkan lagi tahap bola sepak di negara ini.
Namun, satu perkara yang menjadi persoalan adalah, berapa banyakkah jumlah pasukan yang akan menerima cadangan untuk sistem pajakan itu?
Ini kerana, sebelum ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ada membuat inisiatif untuk penggantian rumput stadium, namun hanya dua negeri iaitu Kedah Darul Aman FC dan Perak FC yang berminat dengan inisiatif itu.
Sayang sekali usaha yang cuba dilakukan oleh KBS itu tidak mendapat sambutan walhal ia mampu menjadi satu langkah yang amat baik untuk arena sukan di negara ini.
Selepas usaha yang dibuat oleh KBS itu, kini giliran FAM pula yang membuat inisiatif mereka bagi membantu kelab-kelab di negara ini, dan bola sepak Malaysia secara keseluruhan.
Justeru, diharapkan kelab-kelab berkenaan tidak ‘berdegil’ dan menyambut baik usaha FAM ini supaya tahap bola sepak Malaysia semakin meningkat.
Jangan hanya terus melihat pasukan JDT terus berjaya dengan mengambil serius tentang fasiliti serta stadium, sedangkan diri sendiri tidak mahu mengejar.
Amalan pajakan juga adalah normal di negara-negara Eropah contohnya Stadium Etihad, stadium home kepada Manchester City yang dipajak daripada Majlis Perbandaran Manchester.
Malah, kelab amatur dari Terengganu, Real Chukai FC yang bermain di Liga M4 pun turut memajak Stadium Mak Chili dan berjaya ‘membuat duit’ melalui pemajakan itu.
Justeru, kelab-kelab profesional lain tidak perlu was-was dan cuba berfikiran terbuka dengan inisiatif pajakan oleh FAM ini.
Walaupun stadium berkenaan tidak menjadi milik mereka, dengan inisiatif ini, sekurang-kurangnya ia dapat pasukan masing-masing untuk mendapatkan pemilikan penuh kepada stadium dalam tempoh tertentu.