Empat bekas pemain Melaka sah diikat The Red Warriors

293

Melaka United FC telahpun mengumumkan 11 orang pemain yang telah menamatkan khidmat bersama pasukan itu musim lalu.

Hari ini, Kelantan FC telah mengesahkan mereka telah mengikat empat dari pemain yang dilepaskan Melaka untuk menguatkan barisan pemain mereka dalam saingan Liga Perdana musim ini.


Empat pemain tersebut adalah penjaga gol Ahmad Solehin Mamat, pemain tengah Jasmir Mehat dan Shyamierul Razmee Jasmi serta pemain pertahanan tengah Khairul Helmi Johari dan telah disahkan menyertai Kelantan melalui pengumuman di sosial media rasmi pasukan itu. 

Antara perkembangan lain, Kelantan dikhabarkan hampir memeterai perjanjian dengan penyerang dari kelab Bangladesh bernama Chittagong Abahani, iaitu Nixon Brizolara. Pemain berusia 26 tahun itu pernah bermain di negara seperti Portugal dan Kuwait. Nixon dikatakan berada pada prestasi terbaik kerana beliau merupakan penjaring terbanyak di kelabnya. Pengurusan Kelantan turut mengesahkan pemain import mereka intai adalah pemain kebangsaan di negara masing-masing.

Kredit foto : Facebook Chittagong Abahani

Sepertinya, Kelantan agak serius membuat persiapan bagi menghadapi liga pada musim ini dengan ‘sakan’ berbelanja. Mana tidaknya, mereka hanya menamatkan saingan Liga Perdana musim lalu di tangga ke-6 dengan kutipan 27 mata. Mengulas misi yang ditetapkan kepada pengendali baru pasukan itu, Rizal Zambery Yahya harus membawa Kelantan melayakkan diri ke Liga Super 2023.

Rizal kini sedang menjalani hukuman yang dijatuhkan FAM susulan insiden membuat kenyataan mengenai badan induk bolasepak itu yang dianggap memberi impak negatif terhadap nama baik dan reputasi badan induk bola sepak itu. Beliau digantung dari sebarang aktiviti pentadbiran dan pengurusan selama dua bulan.