Patutkah XOX ‘selamatkan’ PAFA pula?

1,642

Kemelut yang melanda Perak FC sebelum ini sudah pun selesai selepas syarikat telekomunikasi XOX Berhad mengambil alih pasukan itu dan kini mereka sedang dalam proses membina semula pasukan itu dari bawah.

Sejak Perak dibawah pengurusan XOX, banyak perubahan yang dilakukan untuk mengembalikan zaman kegemilangan pada satu ketika dahulu.


Namun pengurusan The Bos Gaurus kali ini lebih bijak kerana mereka enggan mengambil jalan pintas untuk cepat capai kejayaan, sebaliknya mereka bermula dari bawah untuk memastikan kelab dapat terus kekal dalam jangka masa panjang.

Rata-rata peminat nyata gembira dengan perubahan ketara yang berlaku selepas pengambilalihan pasukan.

Bagaimanapun kini timbul satu lagi isu berkaitan bola sepak di negeri itu apabila Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dibatalkan pendaftarannya oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) baru-baru ini.

Ia merupakan satu berita yang cukup mengejutkan kerana PAFA merupakan persatuan bola sepak tertua di negara yang mana mereka sudah berusia lebih 100 tahun.

Namun PAFA masih mempunyai tempoh kira-kira dua minggu lagi untuk merayu pembatalan yang berkuatkuasa pada 5 April lalu.

Untuk rayuan kepada Kementerian Belia Dan Sukan (KBS), hanya pegawai berjawatan tinggi sahaja yang boleh mengemukakan rayuan yang mana akhbar tempatan Utusan Malaysia melaporkan hanya Datuk Muhamad Yadzan Mohamed, Datuk Irudianathan dan Abdul Aziz Yeop Jamaluddin kerana beliau merupakan Naib Presiden PAFA.

Dikatakan hanya Abdul Aziz yang bersetuju mahu membuat rayuan manakala dua lagi enggan berbuat demikian.

Jika Abdul Aziz tidak membuat rayuan dalam tempoh yang ditetapkan, maka PAFA akan ‘gulung tikar’ buat selamanya.

Terdahulu, PAFA telah digantung selama enam bulan oleh PJS kerana kemelut yang melanda badan induk itu pada tahun lalu berikutan ada dua kumpulan yang mendakwa mereka sebagai jawatankuasa sah.

Ia adalah sesuatu yang cukup merugikan buat bola sepak di negeri itu sekiranya PAFA tiada kerana dengan kehadiran XOX sebagai pemilik baru Perak FC, PAFA sepatutnya boleh memberi tumpuan kepada pembangunan akar umbi.

Walaupun tiada keperluan untuk XOX campur tanga dalam urusan PAFA, namun dengan XOX merupakan pemilik kepada salah sebuah kelab bola sepak besar di negara boleh memberi bantuan seperti bekerjasama untuk memajukan bola sepak di negeri itu.

Sebagai contoh terdekat, bola sepak di negeri Kedah turut mempunyai dua entiti berbeza iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

KDA kini adalah sebuah kelab bola sepak yang sudah diswastakan yang mana pemegang saham terbesar kelab itu adalah milik Tan Sri Mohd Daud Bakar.

Dibawah KDA ketika ini mereka menguruskan beberapa pasukan iaitu skuad utama, KDA B (Piala MFL), KDA C (Piala Presiden) dan KDA D (Piala Belia).

Manakala KFA pula mengendalikan pasukan futsal Kedah yang beraksi di Malaysia Premier Futsal League (MPFL) dan juga program-program pembangunan akar umbi.

Mungkin perkara sama boleh dilakukan di Perak di mana XOX dan PAFA boleh bekerjasama demi misi dan visi yang sama iaitu untuk membangun dan memajukan bola sepak di negeri itu.