Apa harapan akan datang untuk Arif Aiman?

1,047

Selamat Hari Jadi Ke-21 kepada pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi!

Beliau bermula mengasah bakatnya di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) tetapi Arif tidak banyak peluang untuk menunjukkan bakatnya semasa beliau berada di situ, namun nasibnya berubah apabila beliau berhijrah untuk menyertai Akademi JDT pada tahun 2018.


Namun bukannya sekelip mata Arif mendapat perhatian sebaliknya beliau bekerja dengan cukup keras untuk mendapatkan tempat dalam skuad gergasi Harimau Selatan dan akhirnya segala usaha dan pengorbanan yang dilakukannya membuahkan hasil.

Kehebatan beliau ketika beraksi di atas padang telah membuatkan ramai yang menggelarnya sebagai ‘Messi Malaysia’ kerana kehandalan dalam menggelecek dan saiz tubuhnya yang hampir sama seperti Messi.

Pada 14 Mac 2020, Arif membuat penampilan pertamanya bersama skuad utama JDT dan beliau tidak menunggu lama untuk menarik perhatian ramai dengan aksi lincahnya.

Prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh beliau apabila diturunkan telah menyaksikan beliau berjaya merampas posisi sayap kanan yang sebelum ini didominasi oleh Safawi Rasid.

Kerja keras yang dipamerkan dan konsintensinya membuatkan beliau sentiasa menjadi piliha ketua jurulatih walaupun pasukan itu mempunyai ramai pemain-pemain bintang.

Bukan sahaja cemerlang di saingan tempatan, Arif juga sangat hebat di peringkat antarabangsa apabila pernah turun beraksi dalam saingan AFC Champions League (ACL) yang mana beliau mendapat pujian daripada peminat bola sepak di rantau Asia.

Jadi tidak hairan pada usia 19 tahun beliau sudah memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) sebanyak dua kali berturut-turut iaitu pada musim 2021 dan 2022 di Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK).

Beliau juga dipilih sebagai pemain wonderkids ASEAN.

Dalam pada itu, di usia yang masih muda Arif kini menjadi tonggak utama JDT dan telah berjaya merangkul pelbagai kejayaan bersama kelab dari Selatan itu termasuk pernah memenangi Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

Bersempena hari jadinya, apakah harapan beliau dalam kerjaya bola sepaknya kini. Adakah beliau mahu terus kekal di JDT untuk kumpul koleksi trofi atau beliau memasang impian untuk bermain di luar negara?

Hanya beliau sahaja yang boleh menentukan hala tuju kariernya dan peminat sentiasa mendoakan kejayaan pemain itu dan akan terus menjadi inspirasi buat pemain-pemain muda lain.