Publisiti melampau Wrexham cetus ketidakpuasan hati segelintir pihak
Wrexham A.F.C baru-baru mengadakan perarakan bas selepas memenangi Vanarama National League dan memecahkan rekod liga tersebut selepas mengutip 111 mata dalam satu musim telah disiarkan secara langsung oleh BBC.
Bagaimanapun keraian kelab itu yang mendapat publisiti yang cukup meluas telah mencetuskan rasa tidak puas hati segelintir pihak yang mengaggap ia agak keterlaluan.
Malah kelab lain yang pernah merangkul kejuaraan sama sebelum ini tidak pun mendapat publisiti meluas seperti Wrexham.
Publisiti meluas daripada media di Wales dan di seluruh dunia adalah kerana pemilik kelab tersebut adalah pelakon terkemuka Hollywood iaitu Ryan Reynolds dan Rob McElhenney.
Tidak dinafikan apabila ada individu berpengaruh atau popular menceburi dunia bola sepak, pastinya ia akan mendapat perhatian terutamanya apabila mereka turut sama bekerja keras dalam membangunkan kelab itu.
Dalam pada itu, perkara sama juga berlaku di Malaysia apabila juara Liga Super sembilan kali berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) turut sentiasa menjadi perhatian media tempatan.
Selain faktor JDT adalah sebuah kelab gergasi dengan mempunyai fasiliti berkelas dunia, mereka juga adalah pasukan yang dibarisi oleh ramai pemain kebangsaan dan pemain import yang cukup berkualiti sehingga tiada pasukan yang mampu memberi cabaran.
Apa yang membuatkan JDT sentiasa menjadi perhatian adalah kerana kelab itu dimiliki oleh kerabat diraja iaitu oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris yang mana baginda merupakan antara pemilik kelab yang sentiasa lantang bersuara mengenai bola sepak Malaysia.
Ada sahaja yang isu yang sering dibangkitkan dan ia secara tidak langsung mendapat liputan meluas daripada media di Malaysia.
Walaupun ada juga segelintir peminat yang tidak berpuas hati, namun majoritinya tiada masalah dengan liputan meluas terhadap pasukan Harimau Selatan itu.
Untuk saingan di Liga Malaysia, hanya beberapa kelab sahaja yang sering menjadi perhatian selain JDT iaitu Selangor FC, Kedah Darul Aman FC, Perak FC, Terengganu FC dan Sabah FC.
Bagaimanapun publisiti terhadap kelab-kelab ini tidak terlalu meluas jika hendak dibandingkan dengan JDT.
Dalam dunia bola sepak moden ketika ini, suka atau tidak publisiti adalah ‘senjata’ utama untuk sesebuah kelab kerana ia bukan sahaja untuk mewar-warkan mengenai kelab itu sahaja tetapi juga dapat memberi nilai komersial kepada kelab itu sendiri.
Nilai komersial untuk sesebuah kelab sangat penting kerana ia dapat menarik syarikat-syarikat untuk menaja kelab sekaligus dapat mengukuhkan kewangan pasukan di mana dengan wang tajaan itu kelab dapat membeli pemain-pemain berkualiti untuk mantapkan pasukan.
Biarpun ada yang tidak gemar dengan publisiti keterlaluan, tetapi pengurusan kelab perlu berfikiran lebih terbuka kerana kelab bola sepak kini sudah diswastakan oleh itu peminat mahukan pihak kelab sentiasa berinteraksi untuk memaklumkan mengenai perkembangan kelab.