Lin Dan bagi ‘hint’ akan berentap dengan Lee Chong Wei di Kuala Lumpur?

1,088

Baru-baru ini The Badminton World Federation (BWF) telah mengumumkan Lin Dan dan Datuk Wira Lee Chong Wei antara yang terpilih untuk dimasukkan ke BWF Hall Of Fame yang mana majlisnya akan diadakan pada 26 Mei ini di Pusat Konvesyein Kuala Lumpur (KLCC).

Namun apa yang membuatkan peminat badminton terutamanya peminat badminton di China teruja apabila bekas juara dunia Lin Dan dalam satu kenyataanya ‘the first battle abroad in four years’ seperti memberi bayangan bahawa satu perlawanan pertunjukkan bakal diadakan di antara dirinya dan Chong Wei.


Lin Dan dalam kenyataan sama turut mengesahkan bahawa dirinya akan menghadiri majlis tersebut.

Dalam pada itu, bekas pemain nombor satu dunia yang juga merupakan jaguh badminton Malaysia, Chong Wei nyata terkejut dan tidak menjangka bahawa beliau akan terpilih untuk tersenarai dalam BWF Hall Of Fame.

Beliau yang nyata gembira memberitahu sebelum ini memang ada beberapa pemain negara yang pernah terpilih namun ia daripada generasi berbeza dan beliau yang pertama untuk generasi ketika ini.

Enggan mengambil kredit untuk dirinya sendiri, beliau turut mengucapkan terima kasih dan berkata beliau terhutang budi terhadap peminat Malaysia yang sentiasa menyokong kariernya dan menjadi tulang belakang kejayaannya dalam dunia badminton.

Beliau pada masa sama turut tidak melupakan jasa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan penaja yang sentiasa bersamanya dalam situasi suka dan duka.

Untuk makluman, Chong Wei merupakan pemain Malaysia pertama yang dipilih masuk ke BWF Hall Of Fame sejak Wong Peng Soon pada tahun 1999.

Tidak dapat dinafikan beliau merupakan seorang pemain badminton Malaysia paling berjaya apabila berjaya merangkul 47 kejuaraan Super Siri/Jelajah Dunia BWF selain memegang gelaran sebagai pemain No. 1 Dunia selama enam tahun.

Selain itu, pemain kelahiran Bagai Serai, Perak ini juga pernah memenangi tiga pingat perak di Sukan Olimpik 2008 (Beijing), 2012 di London dan 2016 di Rio de Janeiro.

Beliau juga berjaya memenangi lima pingat emas di Sukan Komanwel, empat pingat perak di Kejuaraan Dunia dan banyak lagi.

Melihat kepada situasi badminton negara ketika ini nampaknya masih tiada pemain yang dilihat mempunyai potensi besar untuk cuba menandingi rekod dan pencapaian lagenda badminton negara itu.

Apa pun pastinya peminat badminton di seluruh dunia teruja sekiranya dapat melihat sekali lagi pertarungan antara dua bekas jaguh dunia itu berentap walaupun dalam perlawanan pertunjukkan.