Keputusan tidak penting, saya tetap bangga dengan persembahan pemain – Soleen Al-Zou’bi

382

Ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita kebangsaan, Soleen Al-Zou’bi bangga dengan persembahan anak-anak buahnya pada perlawanan menentang Filipina dalam aksi kumpulan A Sukan SEA 2023 sebentar tadi.

Beliau menyifatkan bahawa keputusan perlawanan itu, yang menyaksikan Malaysia tewas 1-0, adalah tidak penting tetapi persembahan yang ditunjukkan oleh pemain membuatkannya bangga.


“Ia adalah perlawanan yang sukar dari segi mental dan fizikal tetapi saya amat berbangga dengan para pemain, mereka lakukan tugas yang baik sebagai satu pasukan.

Kami ada sebuah pasukan dan pemain-pemain yang mempunyai masa depan, bagi saya keputusan pada hari ini tidak penting, apa yang penting adalah persembahan mereka,”

katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kekalahan 1-0 kepada Filipina di Stadium Army, Phnom Penh.

Dalam pada itu, Soleen optimis Malaysia mampu melakar kemenangan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Myanmar sekiranya mereka bermain seperti hari ini.

Katanya, tidak banyak perubahan yang perlu dilakukan untuk perlawanan tersebut, cuma para pemain harus memperbaiki kesilapan individu.

“Melihat kepada gaya permainan Myanmar, mungkin kami akan lakukan perubahan taktikal saja, tidak banyak yang kami perlu perbaiki kecuali kesilapan individu.

Mungkin kalah pada hari ini membuatkan kami lebih bersemangat untuk menang pada perlawanan terakhir nanti, jika para pemain bermain dengan tersusun seperti pada hari ini kita boleh menang.”

Malaysia akan turun menentang Myanmar pada 9 Mei ini bagi perlawanan terakhir kumpulan A di Stadium Army, Phnom Penh.

Malaysia kini berada di kedudukan terakhir kumpulan A selepas dua perlawanan.