Tahun ini saingan MPFL lebih berintensiti tinggi dan baik dengan kehadiran lebih ramai import – Patt Swirijit
Ketua jurulatih Selangor TOT United, Patt Swirijit menganggap tahap sukan futsal di Malaysia semakin meningkat dengan intensiti yang tinggi dan ramai pemain berkualiti.
Katanya, dengan kehadiran lebih ramai kepakaran import, dalam kalangan jurulatih dan pemain, dapat dilihat ia semakin meningkat dan berada di landasan yang baik.
“Tahun lalu saya memang tonton saingan futsal Malaysia tetapi tahun ini saya lihat saingan lebih berintensiti tinggi dan ramai pemain berkualiti.
Ditambah juga dengan kehadiran pemain dan jurulatih dari luar, ini adalah satu perkembangan yang baik untuk futsal di Malaysia,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau berkata demikian selepas perlawanan menentang PFA Odin Sarawak yang menyaksikan pasukannya menang besar 10-2.
Beliau masih tidak gembira dengan pasukannya kerana sering melepaskan gol mudah untuk pihak lawan.
“Ada beberapa perlawanan yang kita buat kesilapan yang menghadiahkan gol kepada pihak lawan.
Sasaran kita pada separuh pertama musim adalah berada di kedudukan empat teratas manakala pada separuh kedua musim pula berada di kedudukan tiga teratas.”
Dalam pada itu, beliau berharap kehadiran pemain import baharu dari Jepun, Antonio Massanori Hirata Neto dapat menyelesaikan masalah kekurangan gol pasukan itu.
Beliau berkata bahawa pemain itu sudah bersedia untuk diturunkan pada perlawanan pertama pusingan kedua menentang KL City 14 Mei ini.
Sementara itu, pemain Selangor TOT United, Farikh Khabibor berharap Hirata dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama rakan sepasukan dan taktikal jurulatih.
Beliau menjangkakan pemain itu akan menjaringkan banyak gol untuk pasukan kerana reputasi tinggi yang dimilikinya.
Farikh juga mengakui mereka mempunyai masalah untuk mengekalkan konsistensi dan perlu memastikan mereka fokus dalam setiap perlawanan supaya tidak melepaskan mata berharga.