Apakah yang akan berlaku jika skuad Harimau Muda tersingkir awal dari Sukan SEA?
Presiden Konfederasi Bola Sepak Kemboja (FFC), Sao Sokha telah mengumumkan yang beliau akan meletak jawatan jika mereka tidak layak ke peringkat separuh akhir di Sukan SEA.
Menerusi laman Facebook miliknya, Sao Sokha memberitahu beliau telah meletak jawatannya sebaik sahaja Kemboja tewas 2-0 kepada Myanmar pada perlawanan ketiga Kumpulan A Sukan SEA 2023 selepas hanya berjaya mengumpul empat mata selepas tiga perlawanan.
Walaupun mempunyai baki satu lagi perlawanan, namun peluang untuk tuan rumah untuk melepasi peringkat kumpulan sangat tipis apabila mereka akan bertemu dengan pendahulu Indonesia yang mengekalkan rekod bersih dengan tiga kemenangan.
Tindakan Sao Sokha itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana perkara seperti itu sering berlaku dalam dunia bola sepak yang mana beliau mengambil tanggungjawab ke atas kegagalan tersebut dan mahu memberi ruang kepada pihak lain yang layak untuk mengemudi badan induk bola sepak itu.
Dalam pada itu, apakah yang akan berlaku sekiranya skuad Malaysia juga menerima nasib sama tersingkir awal dari temasya dwi tahunan ini?
Ini kerana skuad Harimau Muda kini berada dalam situasi getir selepas tewas 2-0 kepada Thailand dalam perlawanan pertama, sekaligus menyaksikan perlawanan menentang Vietnam hari ini akan menjadi penentu samada mereka mampu mara ke separuh akhir atau tidak.
Sebelum ini Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin telah meletakkan sasaran untuk skuad kendalian E. Elavarasan untuk mara sekurang-kurangnya ke perlawanan akhir.
Malah, Elavarasan dalam satu kenyataan media turut berkata sasaran yang diletakkan FAM adalah realistik untuk dicapai.
Walaupun tampak untuk skuad negara untuk menundukkan gergasi Vietnam, namun sekiranya mereka berjaya memperoleh keputusan seri, skuad negara masih mempunyai peluang tetapi mereka perlu menanti keputusan di antara perlawanan terakhir Vietnam menentang Thailand pada 11 Mei.
Skuad negara bagaimanapun tidak boleh mengharapkan keputusan di antara Vietnam dan Thailand sahaja, sebaliknya mereka juga perlu pastikan menang ke atas Singapura.
Harimau Muda cuba menamatkan kemarau 12 tahun pingat emas di Sukan SEA selepas kali terakhir berjaya melakukannya pada Sukan SEA 2011 yang mana ketika itu dikendalikan oleh Datuk Ong Kim Swee.
Terdahulu, skuad Harimau Muda telah menjalani kem latihan pusat lebih dua minggu termasuk mengatur beberapa perlawanan persahabatan, dan berada dalam keadaan cukup bersedia.
Apa pun diharap pemain-pemain muda negara ini mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk pastikan dapat keputusan positif.