Andreas Iniesta atau Radamel Falcao jadi pilihan?
Juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi buah mulut peminat bola sepak di rantau Asia Tenggara ketika ini selepas pemilik kelab itu iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris memberi bayangan akan membawa pemain bintang Radamel Falcao pada jendela perpindahan kedua nanti.
Walaupun khabar angin itu tidak dapat disahkan, namun rata-rata peminat bola sepak merasakan perkara itu akan berlaku terutamanya apabila bintang dari Colombia itu turut membalas ciapan TMJ di Twitter.
Disebalik keterujaan peminat Harimau Selatan dengan berita kedatangan Falcao itu, namun ada segelintir peminat yang merasakan percaturan untuk membawa masuk bekas bintang Manchester United adalah kurang sesuai dek pemain itu sudah berusia 37 tahun.
Selain sudah berusia, Falcao juga dikatakan gagal memberi impak dalam pasukannya sejak mengalami kecederaan ligamen krusiata anterior (ACL) pada 2014 yang mana menyaksikan beliau berhijrah ke beberapa kelab besar namun gagal memberi impak.
Mungkin kualiti Liga Super yang jauh kebelakang berbanding liga-liga yang Falcao pernah main membuatkan beliau mampu memberi impak besar pada pasukan.
Bagaimanapun baru-baru ini kelab gergasi J1 League iaitu Vissel Kobe dilaporkan mahu melepaskan ketua pasukan mereka yang juga pemain bintang terkemuka dunia Adreas Iniesta walaupun masih mempunyai baki kontrak semusim lagi.
Difahamkan keputusan yang dibuat oleh pihak kelab adalah kerana usia Iniesta yang kini sudah 38 tahun, oleh itu mereka mahu menggantinya dengan pemain yang lebih muda.
Tambahan pula, sejak enam musim bersama Vissel Kobe, Iniesta masih memegang gelaran sebagai pemain termahal di liga Jepun itu.
Susulan berita tersebut, beliau juga dikatakan telah menerima beberapa tawaran dari Major League Soccer (MLS) dan kelab di Saudi Pro League termasuk tawaran menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan di bekas kelab lama Barcelona.
Pelbagai kejayaan yang diperolehi oleh Iniesta sepanjang beliau bersama Barcelona termasuk memenangi La Liga, Copa Del Rey, Piala Super Sepanyol, UEFA Champions League, UEFA Super Cup dan FIFA Club World Cup.
Iniesta turut memenangi Piala dunia pada tahun 2010, bersama Sepanyol di mana beliau yang menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan lawan Belanda.
Beliau juga telah memenangi banyak penghormatan individu sepangjang kariernya seperti, pemain terbaik Eropah, FIFA FIFAPro World11 dan banyak lagi.
Mungkinkah Iniesta lebih sesuai berbanding Falcao? Antara faktor utama mungkin pemain dari Sepanyol itu lebih sesuai adalah kerana beliau sudah ‘masak’ dengan permainan bola sepak di Asia, malah beliau juga pernah mengemudi Vissel Kobe dalam saingan AFC Champions League (ACL) dan pernah bertemu dengan JDT.
Beliau juga sentiasa konsisten dan kurang mengalami kecederaan yang mana ia adalah satu bonus kerana beliau dapat diturunkan dalam setiap perlawanan.
Rasanya TMJ tiada masalah untuk mendapatkan khidmat Iniesta sekiranya mahu kerana baginda mempunyai hubungan baik dengan bekas rakan sepasukan Iniesta iaitu Gerard Pique.
Tetapi mungkin faktor utama yang akan membuatkan sukar untuk JDT membawa masuk pemain itu adalah bayaran gaji kerana semua sedia maklum gaji pemain itu ketika ini cukup tinggi dan jika beliau bersetuju untuk potongan gaji pun pastinya jumlah tersebut tetap tinggi.
Apa pun siapakah yang anda mahu? Falcao atau Iniesta sekiranya diberi pilihan.