Pemain era kegemilangan 2003 kembali membantu Perak
Tahun 2021 merupakan musim yang suram bagi Perak FC setelah mereka tersingkir dari Liga Super buat pertama kalinya sejak diperkenalkan pada tahun 2004.
Sebagai persiapan bagi musim 2022, skuad Perak yang akan beraksi di Liga Premier pada musim ini dikatakan begitu serius untuk kembali ke Liga Super pada tahun berikutnya.
Semenjak berlakunya pertukaran pemilik, skuad The Bos Gaurus ini dilihat dalam fasa perubahan apabila langkah pertamanya melantik bekas pemain era zaman kegemilangan Perak pada tahun 2003 iaitu Yusri Che Lah sebagai jurulatih pasukan.
Di samping itu, bagi menstabilkan keadaan pasukan, Perak juga bakal melantik Chan Wing Hoong sebagai pembantu jurulatih. Hal ini kerana, mereka telah mempunyai persefahaman yang baik semenjak sama-sama menjadi pemain untuk Perak pada tahun 2003.
Pihak pengurusan baru Perak juga ingin melantik dua lagi tonggak utama semasa era kegemilangan skuad Perak iaitu Faizal Zainal sebagai pengurus manakala Ahmad Shahrul Azhar sebagai Pengarah Teknikal.
Perak telah mensasarkan untuk menjadi Juara Liga Premier pada musim 2022 ini seterusnya layak semula ke Liga Super.
Selain itu, demi mengembalikan era kegemilangan bola sepak di Perak, pengurusannya juga ingin merekrut kembali seorang otai yang masih lagi beraksi dalam kancah bola sepak iaitu Indra Putra Mahayuddin.
Dengan kehadiran Indra Putra, beliau mampu memberi tunjuk ajar kepada pemain muda yang masih bersama dalam skuad Perak ini.
Adakah kehadiran lima pemain lagenda ini mampu membantu Perak kembali bersinar seperti era kegemilangan mereka pada 19 tahun yang lalu.