Farizal Marlias ke Kelantan FC satu ‘down grade’ dalam kariernya
Terdapat khabar angin yang mengatakan penjaga gol berpengalaman Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias mungkin dipinjamkan oleh Kelantan FC pada jendela perpindahan kedua tidak lama lagi.
Beliau adalah antara penjaga gol terbaik di Malaysia dan perpindahan ke Kelantan boleh disifatkan sebagai satu downgrade buat kariernya.
Ini kerana walaupun Farizal sudah berusia 36 tahun, namun beliau mempunyai reputasi yang cukup besar sebagai penjaga gol terbaik pernah dimiliki Malaysia.
Tidak mustahil jika reputasi tersebut akan tercalar sekiranya beliau memilih untuk beraksi bersama kelab dari Pantai Timur itu.
Ketika ini Kelantan bergelut dalam saingan Liga Super apabila berada di kedudukan kedua tercorot dengan mengutip empat mata sahaja selepas 10 perlawanan.
Selain berada di tangga ke-13 liga, mereka juga merupakan pasukan paling banyak bolos iaitu melepaskan 34 gol.
Tidak dinafikan ada peminat yang merasakan kemasukan Farizal akan membantu pasukan itu untuk mengurangkan bolos berikutan beliau mempunyai rekod clean sheet yang cukup bagus ketika bersama JDT.
Bagaimanapun perkara itu tidak boleh diambil kira sepenuhnya kerana kekebalan Farizal disumbang dari kehebatan barisan pertahanan pasukan yang berjaya menyerap dan mematahkan setiap serangan pihak lawan sehingga beliau hanya dilihat memegang bola beberapa kali sahaja.
Namun prestasi Farizal hanya diuji apabila mereka beraksi di saingan AFC Champions League (ACL) seperti Kawasaki Frontale dan Urawa Red Diamonds yang menyaksikan JDT bolos dengan jaringan 5-0.
Mungkin Farizal boleh kekal bersama JDT walaupun beliau sudah kurang mendapat tempat dalam kesebalasan utama apabila penjaga gawang utama pasukan itu kini menjadi milik Syihan Hazmi, tetapi kehadiran beliau amat penting.
Seperti yang pernah diperkatakan oleh TMJ sebelum ini, Farizal mempunyai aura dan sangat penting dalam bilik persalinan.
Haziq Nadzli mungkin pilihan terbaik untuk Kelantan kerana beliau masih lagi muda dan peluang beraksi di kelab luar akan memberi kelebihan buat dirinya untuk menjadi penjaga gol utama kerana sebelum ini beliau hanya memanaskan bangku simpanan sahaja.
Haziq perlu jadikan Sikh Izhan Nazrel sebagai contoh yang mana beliau yang dipinjamkan ke Negeri Sembilan FC kini mencipta namanya dan berjaya menarik perhatian ketua jurulatih skuad B-22 negara.
Tidak mustahil jika Haziq pamer aksi terbaik, beliau akan dipanggil untuk perkuat semula skuad JDT atau pun menarik minat kelab-kelab besar lain.