Kenali pasukan dari Pot 3 yang mungkin akan bertemu Malaysia di Piala Asia 2023 nanti
Kehangatan Piala Asia 2023 semakin dirasai apabila tinggal beberapa hari lagi untuk undian kumpulan untuk kejohanan berprestij itu akan berlangsung iaitu pada 11 Mei di Doha, Qatar.
Tidak dinafikan peminat bola sepak tanah air pastinya teruja untuk menyaksikan undian tersebut kerana mahu melihat pasukan kebangsaan Malaysia akan diundi dalam kumpulan mana dan siapakah yang bakal ditentang nanti.
Ketika ini Malaysia diletakkan dalam Pot 4 bersama India, Tajikistan, Thailand, Hong Kong dan Indonesia.
Pasukan yang berada dalam Pot 4 pastinya akan diundi bersama pasukan dari Pot 1,2 & 3.
Menjelang undian yang akan mengambil tempat lagi tiga hari, jom kenali pasukan-pasukan dalam Pot 3 yang mungkin akan menjadi lawan skuad kendalian Kim Pan-gon nanti.
Pasukan yang berada dalam Pot 3 adalah Bahrain (85), Syria (90), Palestine (93), Vietnam (95), Kyrgyzstan (96) dan Lebanon (99).
Bahrain
Bahrain adalah salah sebuah pasukan terkuat dalam Pot 3 kerana mereka menduduki FIFA ranking ke-85 dunia.
Mereka mula menyertai kejohanan Piala Asia pada 1972 namun mereka tidak berjaya untuk melayakkan diri ke pusingan akhir selepas gagal dalam pusingan kelayakan ketika itu dan hanya berjaya ke pusingan akhir pada tahun 1998 yang mana ketika itu Bahrain dipilih menjadi tuan rumah untuk kejohanan itu.
Ketika itu mereka berjaya menduduki tempat ke-9 selepas berjaya menang satu, seri tiga dan kalah dua perlawanan.
Rekod terbaik mereka di Piala Asia adalah pada tahun 2004 yang mana ketika itu mereka berjaya menduduki tempat keempat di China.
Bagaimanapun selepas itu, mereka terus gagal mengulangi pencapaian itu apabila sering kandas di peringkat kumpulan dan hanya berjaya mara ke pusingan 16 pada edisi 2019.
Bahrain vs Turkmenistan during their AFC Asian Cup China 2023 Qualifiers Final Round Group E match at National Stadium Bukit Jalil on June 14, 2022 in Kuala Lumpur, Malaysia. Photo by Vincent Phoon / Power Sport Images for the AFC
Untuk rekod, Malaysia pernah bertemu dengan Bahrain sebanyak 12 kali dengan dua menang, tiga seri dan tujuh kekalahan. Bagi rekod 10 tahun ini, empat perlawanan di antara kedua-dua pasukan ini berpihak kepada Bahrain dengan tiga kemenangan dan hanya satu seri pada 2013 pada kejohanan Piala Asia.
Kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu adalan kelayakan Piala Asia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menyaksikan Bahrain berjaya menang tipis 2-1.
Syria
Syria juga antara pasukan terkuat dalam Pot 3 kerana mereka menduduki ranking lebih baik daripada Malaysia iaitu di tangga ke-90 dunia, jadi mungkin itu antara sebab mengapa skuad negara jarang bertemu dengan mereka.
Sama seperti Bahrain, Syria juga mula menyertai kejohanan Piala Asia pada tahun 1972 tetapi ketika itu mereka juga gagal melayakkan diri ke pusingan akhir.
Sejak 1972, mereka hanya enam kali sahaja berjaya layak ke pusingan akhir Piala Asia iaitu pada tahun 1980, 1984, 1988, 1996, 2011 dan 2019, namun perjuangan mereka sering kandas di peringkat kumpulan.
Untuk rekod, Malaysia pernah bertemu dengan Syria sebanyak empat kali dari tahun 1978 dengan berjaya memperoleh satu kemenangan sahaja dan tiga kekalahan.
Palestine
Sejak menyertai AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia), Palestine hanya pernah layak ke pusingan akhir Piala Asia sebanyak kali termasuk pada edisi 2023 yang akan berlangsung pada Januari 2024 di Doha, Qatar.
Kali pertama mereka layak ke pusingan akhir Piala Asia adalah pada tahun 2015 dan pada tahun 2019 mereka sekali lagi layak, namun dalam kedua-dua penampilan mereka di pentas berprestij Asia itu mereka kandas di peringkat kumpulan.
Untuk rekod pertemuan dengan Malaysia, kedua-dua pasukan pernah bertemu sebanyak empat kali dengan perlawanan pertama membabitkan kedua-dua pasukan adalah pada kelayakan Piala Dunia yang mana Palestine berjaya menang 1-0.
Dalam empat perlawanan, Palestine berjaya menang tiga perlawanan dan hanya tewas sekali.
Vietnam
Satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang berada dalam Pot 3 adalah Vietnam kerana mereka berada di kedudukan ranking ke-95, sekaligus menjadi mereka sebagai pasukan gergasi di rantau ini.
Walaupun merupakan pasukan dari Asia Tenggara, namun Vietnam telah buktikan kehebatan mereka apabila mencipta sejarah berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir pada edisi 2007 yang mana ketika itu mereka adalah tuan rumah bersama Malaysia, Indonesia dan Thailand.
Biarpun selepas itu mereka tidak berjaya layak dalam dua edisi kemudian, tetapi pada edisi 2019 mereka sekali lagi mengulangi pencapaian pada tahun 2007 apabila sekali lagi layak ke suku akhir.
Untuk rekod pertemuan dengan Malaysia, skuad Vietnam mempunyai rekod yang cukup cemerlang dalam 23 perlawanan apabila mereka berjaya menang 15 perlawanan, seri tiga kali dan kalah lima kali.
Tapi untuk lima perlawanan terkahir, Vietnam masih kekal dengan rekod bersih dengan menang dalam kesemua perlawanan.
Kyrgyzstan
Setelah sekian lama mencuba, Krygyzstan akhirnya berjaya layak ke pusingan akhir Piala Asia pada tahun 2019 yang mana ketika itu United Arab Emirates (UAE) sebagai tuan rumah dan mereka tidak menunggu lama untuk memberi impak.
Ini kerana pada penampilan pertama mereka itu, Krygyzstan berjaya mara ke pusingan 16, namun prestasi pasukan semasa mereka dijangka akan menjadi antara salah sebuah pasukan yang kuat.
Untuk rekod pertemuan dengan Malaysia, kedua-dua pasukan ini pernah bertemu sekali sahaja pada perlawanan persahabatan pada Oktober 2018 yang menyaksikan Krygyzstan berjaya menang 1-0.
Lebanon
Pasukan terakhir dalam Pot 3 sudah semestinya Lebanon yang merupakan pasukan yang mempunyai ranking tercorot dalam pot tersebut dengan berada di kedudukan ke-99 dunia.
Bagaimanapun iat tidak bermakna bahawa Lebanon adalah pasukan yang mudah kerana mereka kini berada pada prestasi terbaik apabila berjaya naik satu anak tangga dari 100 kepada 99 baru-baru ini.
Untuk rekod di Piala Asia, mereka telah berjaya layak ke pusingan akhir sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2000 yang mana ketika itu mereka adalah tuan rumah dan kali kedua pada tahun 2019 di UAE.
Namun dalam kedua-dua penampilan mereka itu, mereka kandas di peringkat kumpulan.
Rekod menentang Malaysia pula, mereka mengekalkan rekod bersih apabila berjaya menang dalam kedua-dua perlawanan.