Geely bakal meriahkan bola sepak tempatan dengan mewujudkan Asian Games Football Dream Schools

704

Semalam telah berlangsungnya majlis pelancaran kereta Proton X90 untuk pasaran di Malaysia, namun dalam pelancaran yang sama pihak Geely telah mengumumkan sesuatu yang cukup menarik untuk industri sukan Malaysia.

Dalam pelancaran itu, Geely telah mengumumkan bahawa mereka akan mewujudkan Asian Games Football Dream Schools dengan kerjasama pihak Sukan Asia dengan objektif untuk memberi inspirasi kepada pemain-pemain remaja yang memasang impian dalam dunia bola sepak.


Projek ini sudah meluas ke banyak negara, seperti, United Arab Emirates dan Hong Kong.

Inisiatif ini sangat bagus untuk menolong pembangunan bolasepak negara Malaysia dan juga mampu melahirkan belia-belia sukan berpotensi tinggi yang mampu menyumbang dalam sukan bolasepak tanah air.

Tambahan lagi, Ia akan menjadi antara langkah untuk mengeratkan hubungan sukan dan diplomatik antara negara China dan Malaysia yang mana kedua-dua negara ini mempunyai hubungan yang rapat.

Sambil itu, dua negara ini boleh berkongsi idea bagaimana meningkatkan nilai sukan dan ekonomi untuk negara masing-masing daripada daya usaha menaikkan sekolah tersebut.

Dalam pada itu, dengan kolaborasi yang sudah lama terjalin di antara Proton dan Geely mungkin akan menghidupkan semula kelab bola sepak Proton FC yang pernah memeriahkan Liga Malaysia satu ketika dahulu.

Proton FC ditubuhkan pada tahun 1986 namun mereka mula serius pada tahun 2007 di mana ketika itu mereka bersaing dalam saingan Liga FAM atau kini dikenali sebagai Liga M3.

Selepas mempamerkan prestasi terbaik, mereka berjaya menjulang trofi Liga FAM sekaligus layak ke Liga Perdana pada 2008.

Mereka menamatkan musim 2008 di tangga ke-7 dari 13 pasukan yang bersaing untuk terus kekal di liga pada musim 2008 yang mana mereka memperbaiki pencapaian dengan berada di kedudukan ke-5.

Bagaimanapun perjuangan mereka tidak bertahan lama apabila pada tahun 2010 mereka tidak lagi bersaing dalam Liga Malaysia.

Mungkin Proton boleh mempertimbangkan untuk kembali ke kancah liga bola sepak tanah air dengan menyertai saingan Liga M4 terlebih dahulu dan perlahan-lahan naik liga seperti sebelum ini.

Adakah anda rindu Proton FC?