Saya yakin pada masa hadapan pasukan ini mampu jadi pencabar pasukan hebat lain – Soleen Al-Zoubi
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita, Soleen Al-Zoubi yakin dengan masa hadapan pasukan Malayan Tigress yang dilihat mampu menjadi sebuah pasukan yang mantap pada masa hadapan.
Soleen berkata demikian selepas skuad negara menutup tirai saingan Kumpulan A dengan kekalahan 5-1 kepada Myanmar sekaligus tersingkir dari Sukan SEA 2023 di Kemboja.
“Untuk pasukan ini saya yakin pada masa hadapan pasukan ini mampu menjadi lebih baik dan mampu jadi pencabar kepada pasukan-pasukan yang lebih hebat,”
katanya.
Menurut beliau, walaupun gagal mengutip sebarang mata dalam tiga perlawanan, namun beliau tetap berbangga dengan komitmen dan persembahan yang dipamerkan oleh anak buahnya.
“Ia sangat perlawanan yang sangat sukar buat pemain selepas mereka menghadapi physical breakdown kerana mereka hanya sempat membuat persiapan dalam tempoh yang singkat, selain mempunyai sedikit sahaja pengalaman.
Ini adalah pasukan yang baru berusia tiga ke empat minggu menentang pasukan terbaik di rantau ini, jadi kami sudah menjangkakan keputusan ini.”
Terdahulu pada perlawanan pertama, skuad negara tewas 3-0 kepada Vietnam dan kemudian hampir mengejutkan pasukan Piala Dunia, Filipina apabila terikat tanpa jaringan sehingga hampir tamat perlawanan, namun kesilapan di saat-saat akhir mereka dihukum dan kalah 1-0.
Mengharungi dua perlawanan yang cukup sukar, anak buah Soleen tampak sedikit longlai apabila mudah dibenam Myanmar 5-1.
Dalam pada itu, Soleen juga berkata selepas ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mewujudkan liga bola sepak wanita yang berdurasi lima ke enam bulan dengan disertai sebanyak 10 pasukan.
Liga ini adalah bagi memastikan pemain-pemain dalam bermain dalam perlawanan berkualiti.
Pada masa sama beliau akan terus dengan program pembangunan untuk pasukan remaja dan senior kebangsaan.