Cabaran terbesar Malaysia sekiranya bertemu dengan salah sebuah pasukan dari Pot 1 di Piala Asia 2023

896

Tinggal  sehari sahaja lagi sebelum berlangsungnya majlis undian Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Doha, Qatar.

Sebanyak 24 pasukan yang layak ke pusingan akhir Piala Asia 2024 telah dibahagikan kepada empat Pot iaitu iaitu Pot 1, 2, 3 & 4, dengan pasukan kebangsaan Malaysia berada dalam Pot 4 berdasarkan FIFA ranking semasa.


Harimau Malaya berada dalam Pot bersama India, Tajikistan, Thailand, Hong Kong dan Indonesia di mana setiap pasukan dalam Pot ini akan bertemu dengan pasukan dari Pot 1, 2 & 3.

Selepas artikel mengenai pasukan-pasukan yang mungkin akan diundi bersama skuad negara dari Pot 2 dan Pot 3, kini mari kita lihat pasukan manakah yang mungkin akan menjadi lawan skuad kendalian Kim Pan-gon nanti dari Pot 1.

Pot 1 akan dihuni oleh pasukan tuan rumah Qatar (61), Jepun (20), Iran (24), Korea Selatan (27), Australia (29) dan Arab Saudi (54).

Qatar

Pasukan tuan rumah Qatar merupakan juara bertahan Piala Asia selepas mereka berjaya menjulang trofi itu pada edisi 2019 yang mana ketika itu berlangsung di UAE.

Qatar boleh dikatakan berada dalam prestasi terbaik kerana juga merupakan pasukan yang bermain di Piala Dunia 2022 yang berlangsung pada tahun lalu walaupun menamatkan saingan tanpa sebarang kemenangan.

Sumber foto: World Cup news

Bagaimanapun mereka kini berada di landasan yang tepat apabila melihat perkembangan bola sepak di negara itu semakin pesat termasuk dengan kewujudan akademi bola sepak berkelas dunia Aspire Academy.

The Maroons mempunyai rekod yang agak biasa di Piala Asia di mana sepanjang penyertaan mereka sejak 1980 mereka hanya berjaya sampai ke suku akhir sahaja dan selebihnya sering kandas di peringkat kumpulan.

Bagaimanapaun selepas mereka melakukan revolusi bola sepak, peningkatan ketara dapat dilihat dan hasilnya mereka akhirnya berjaya menjulang trofi itu pada tahun 2019.

Mereka merupakan pasukan pilihan pada edisi kali ini bukan sahaja kerana mereka adalah juara bertahan, tetapi mereka mempunyai kelebihan beraksi di hadapan peminat mereka sendiri.

Rekod pertemuan di antara Qatar dan Malaysia juga menyaksikan mereka mempunyai kelebihan apabila sebanyak tujuh perlawanan yang diharungi, mereka telah berjaya menang empat kali dan seri tiga kali.

Japan

Pasukan gergasi yang digeruni oleh mana-mana pasukan di Asia sudah semestinya pasukan Jepun kerana mereka merupakan pasukan yang paling banyak memenangi kejohanan Piala Asia iaitu sebanyak empat kali.

Jepun turut berada pada prestasi terbaik ketika kini apabila pada Piala Dunia 2022 mereka berjaya pamer aksi cukup cemerlang apabila berjaya mara sehingga ke pusingan 16 sebelum terpaksa akur apabila tumpas dalam penentuan penalti ketika menentang Croatia.

Sumber foto: Footballwhispers

Seperti yang diperkatakan sebelum ini, skuad Samurai Blue ini mempunyai trek rekod cukup cemerlang di peringkat Asia apabila berjaya menjulang trofi sebanyak empat kali iaitu pada edisi 1992, 2000, 2004 dan 2011.

Mereka juga pernah menjadi naib juara pada edisi 2019, tempat keempat pada 2007 dan dua kali suku akhir pada 1996 dan 2015 serta hanya kandas di peringkat kumpulan sekali sahaja pada 1988.

Jepun mempunyai rekod pertemuan dengan Malaysia yang cukup banyak sejak 1958 di mana kedua-dua pasukan sudah bertemu sebanyak 35 kali dengan rekod 13 menang, 11 seri dan 11 kalah.

Iran

Dalam Pot 1 dihuni oleh pasukan Piala Dunia termasuk Iran yang merupakan pasukan konsisten terutamanya dalam kejohanan Piala Asia.

Mereka merupakan satu-satunya pasukan yang berjaya menjulang trofi ini sebanyak tiga kali berturut-turut iaitu pada edisi 1968, 1972 dan 1976 dan apa yang menariknya adalah mereka hanya sekali sahaja kandas di peringkat kumpulan iaitu pada 1992.

Sumber foto: National review

Iran pernah menduduki tempat ketiga sebanyak lima kali (1980, 1988, 1996, 2004 & 2019); tempat keempat sekali dan mara ke suku akhir sebanyak empat kali.

Ia akan menjadi satu perlawanan yang cukup sukar sekiranya pasukan Malaysia diundi bersama Iran kerana berdasarkan rekod, kedua-dua pasukan pernah bertemu sebanyak empat kali dengan keempat-empat perlawanan itu dimenangi oleh Iran.

Korea Selatan

Sebuah lagi pasukan gergasi Asia, Korea Selatan juga antara pasukan yang mempunyai rekod cemerlang di kejohanan Piala Asia dan merupakan pasukan yang baru sahaja mengharungi saingan Piala Dunia 2022.

Korea Selatan pernah menjulang trofi berprestij ini sebanyak dua kali iaitu pada edisi 1956 dan 1960 dan sejak menyertai Piala Asia mereka hanya dua kali gagal melayakkan diri ke pusingan akhir iaitu pada tahun 1968 dan 1992.

Sumber foto: Aljazeera

Mereka merupakan antara pasukan yang terbanyak menjadi naib juara iaitu sebanyak empat kali; tempat ketiga juga sebanyak empat kali; suku akhir empat kali dan tidak lepas peringkat kumpulan sekali pada 1984.

Dengan status pasukan pilihan, ia adalah satu penghargaan buat pasukan Malaysia sekiranya diundi bersama Korea Selatan kerana kedua-dua pasukan mempunyai sejarah yang cukup panjang iaitu pernah bertemu sebanyak 89 kali.

Dari jumlah tersebut, Korea Selatan berjaya menang sebanyak 48 kali, seri 21 kali dan kalah 20 kali.

Australia

Pasukan Australia boleh dikatakan pasukan baru dalam Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila meneyrtainya pada 2006 dan menyertai Piala Asia pertama mereka pada tahun 2007 di mana ketika itu Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Thailand merupakan tuan rumah bersama.

Walaupun masih baru, namun Australia mempunyai rekod yang agak cemerlang di kejohanan ini apabila pernah menjadi juara pada edisi 2015 yang mana ketika itu mereka adalah tuan rumah.

Sumber foto: Sportslumo

Mereka juga pernah menjadi naib juara pada edisi 2011 dan dua kali kandas di suku akhir iaitu pada 2007 dan 2019.

Untuk rekod pertemuan dengan Malaysia, mereka pernah bertemu sebanyak sembilan kali dengan lapan kemenangan menjadi milik Australia dan mereka hanya sekali sahaja tewas.

Arab Saudi

Sebuah lagi pasukan pilihan dalam Pot 1 sudah semestinya Arab Saudi kerana mereka merupakan pemenang tiga kali Piala Asia.

Penampilan pertama mereka di pentas Asia pada 1984 di Singapura, Arab Saudi telah melakukan kejutan apabila berjaya menjulang trofi itu. Mereka kemudian mengulangi kejayaan itu sebanyak dua kali iaitu pada edisi 1988 dan 1996.

Sumber foto: Arabnews

Konsistensi yang dipamerkan oleh mereka di Piala Asia turut menyaksikan mereka berjaya menjadi naib juara sebanyak tiga kali, kandas di peringkat kumpulan dua kali dan pada edisi terakhir mereka menamatkan saingan di pusingan 16.

14 pertemuan di antara Arab Saudi menentang Malaysian menyaksikan mereka berjaya menang sebanyak 11 kali, seri dua kali dan hanya tumpas sekali sahaja.