Situasi Piala AFF pada tahun lalu di SNBJ mungkin berulang November ini!

851

Peminat-peminat bolasepak negara kecoh di media sosial apabila mendapat tahu tarikh konsert band terkenal Coldplay yang akan berlangsung pada 22 November 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Susulan itu, peminat kini mula menyuarakan pelbagai pendapat mengenai perkara itu termasuk bimbang situasi yang berlaku pada kejohanan Piala AFF 2022 kembali berulang.


Ini kerana pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF di antara Malaysia dan Thailand, sebanyak 21,000 tempat duduk terpaksa dikosongkan berikutan sebuah pentas didirikan di belakang tiang gol untuk konsert Jay Chou.

Perkara itu telah menimbulkan kemarahan peminat yang berang kerana tidak dapat turun ke stadium untuk menyaksikan Harimau Malaya beraksi dek kekurangan tiket.

Situasi sama juga mungkin akan berlaku pada bulan November nanti kerana pada 16 dan 21 November ini, pasukan kebangsaan kendalian Kim Pan-gon akan mempunyai perlawanan Kelayakan Pusingan Kedua Piala Dunia dan pastinya ia akan dimainkan di SNBJ.

Selain SNBJ adalah home of Harimau Malaya, peminat mahukan pasukan kebangsaan bermain di stadium tersebut kerana ia mempunyai rumput berkualiti apabila SNBJ kini dalam proses penukaran rumput kepada jenis Zeon Zoysia.

Walaupun ada segelintir peminat yang bimbang dengan keadaan padang yang akan rosak dek pembinaan pentas, namun perkara itu tidak perlu dirisaukan kerana sebuah nurseri telah dibina berdekatan SNBJ yang mana pihak stadium dapat menukar rumput yang rosak dengan rumput yang baru dalam tempoh yang singkat.

Biarpun masih belum dapat mengesahkan Malaysia akan bermain terus di pusingan kedua kelayakan atau tidak, namun jika mengambil kira ranking semasa skuad negara, mereka berada pada kedudukan ke-25 di Asia yang mana kedudukan itu akan membolehkan mereka terus bermain di pusingan kelayakan kedua.

Tidak dapat dinafikan ramai peminat yang berang dengan penggunaan SNBJ sebagai venue untuk acara lain seperti konsert, namun peminat harus menerima hakikat bahawa SNBJ adalah sebuah stadium pelbagai guna.

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) perlu menyewakan stadium kepada pihak-pihak yang berminat bagi memastikan mereka dapat menjana pendapatan untuk mengurus dan menyelenggara salah sebuah stadium terbesar di dunia itu.

Sementara itu, sekiranya ada perlawanan persahabatan antarabangsa nanti, ia berkemungkinan tidak akan dimainkan di SNBJ kerana Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini pernah memberitahu bahawa beliau mahu membawa pasukan kebangsaan bermain di stadium di seluruh negara.

Tujuan utama adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada peminat yang sebelum ini tidak berpeluang untuk ke menyaksikan pasukan kebangsaan beraksi dapat melihat sendiri skuad negara beraksi di stadium berdekatan dengan mereka.

Pada bulan Mac lalu, skuad negara telah bermain di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor untuk dua perlawanan persahabatan antarabangsa di antara Turkmenistan dan Hong Kong.

Untuk perlawanan persahabatan antarabangsa pada bulan Jun pula, FAM telah mengesahkan bahawa skuad negara akan beraksi di Stadium Sultan Mizal Zainal Abidin (SSMZA) di Terengganu.

Mungkin selepas Terengganu, salah sebuah negeri di utara tanah air samada Pulau Pinang atau Kedah akan menjadi destinasi seterusnya skuad negara.

Malah FAM juga akan membawa skuad negara beraksi di negeri Borneo juga iaitu di Sabah dan Sarawak kerana peminat di kedua-dua negeri itu sering tidak berkesempatan untuk turun ke SNBJ untuk menyaksikan perlawanan membabitkan skuad negara.

Pada bulan Oktober itu, skuad negara sah akan menggunakan SNBJ untuk kejohanan Pestabola Merdeka edisi ke-42 yang akan bermula pada 14 hingga 17 Oktober, sekaligus akan merasmikan rumput baru yang dijangka akan selesai ditukar pada bulan September.