Apa sudah berlaku pada Kelantan FC? Satu demi satu masalah timbul

3,459

Apa sebenarnya yang sudah berlaku pada Kelantan FC ketika ini? Itulah persoalan yang menjadi tanda tanya peminat-peminat apabila kelab itu seperti kini umpama ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.

Terbaru timbul pula mengenai isu membabitkan kualiti jersi pasukan apabila peminat meluhakan rasa kecewa mereka dengan kualiti jersi tersebut yang sangat mengecewakan walaupun membayar harga mahal iaitu RM199 untuk jersi edisi pemain.


Selain kualiti jersi yang teruk, peminat turut meluahkan rasa tidak puas hati mereka apabila peminat yang membeli jersi Early-bird pada awal Januari lalu hanya menerimanya pada bulan April, malah ada lagi yang belum menerima.

Biarpun jersi keluaran jenama 93 Sports milik kelab itu dijual pada harga yang agak tinggi untuk edisi pemain, namun peminat-peminat tidak mengeluh sebaliknya menyokong dengan membelinya, sedangkan jersi keluaran jenama sukan popular lain seperti Lotto, Umbro, Joma, Cheetah, Hakka Clo dan beberapa lagi dijual pada harga yang lebih rendah.

Bukan sahaja harga lebih rendah, malah kualiti jersi pula sangat memuaskan.

Diharap pihak 93 Sports atau pun pihak kelab dapat tampil membuat kenyataan mengenai isu yang dibangkitkan oleh peminat kerana peminat sanggup mengeluarkan wang untuk kelab dengan niat mahu memberi pendapatan kepada kelab, tetapi balasan yang diterima agak mengecewakan.

Terdahulu, kelab dari Pantai Timur menjadi perhatian ramai apabila kemelut yang berlaku di antara pengurusan dengan bekas ketua jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon-sik yang ‘direhatkan’ susulan prestasi hambar pasukan itu dalam saingan Liga Super.

Susulan itu, ejen kepada Moon-sik iaitu Myeongho Jeong telah tampil membuat beberapa pendedahan termasuk masalah tunggakan gaji, namun perkara itu dinafikan oleh pemilik kelab Norizam Tukiman.

Jeong kemudian dalam satu temubual bersama Harimau Malaya sebelum ini berkata beliau akan mengambil tindakan mengheret kes tersebut ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) jika tidak menyelesaikan tunggakan dan membuat permohonan maaf.

Disebalik permasalahan yang berlaku, ada sinar harapan buat Kelantan apabila Norizam atau mesra dengan panggilan Zamsaham telah bertemu dengan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris baru-baru ini yang mana beliau memberi bayangan pasukannya akan diperkuat dengan beberapa pemain pinjaman dari Harimau Selatan pada jendela perpindahan kedua nanti.

Kelantan bukan sahaja akan ‘menyalin’ pemain dan jurulatih, mereka juga akan menukar barisan pengurusan apabila memuat naik iklan peluang pekerjaan untuk menyertai kelab itu.

Dalam pada itu, Zamsaham kini bukan sahaja terpaksa berdepan dengan kelab bola sepak, tetapi beliau juga berdepan pelbagai dugaan dalam dunia perniagaannya.

Difahamkan salah sebuah Hotel Zamburger di Kota Bharu bakal dilepaskan yang mana terdapat iklan mengenai perkara itu di mana hotel bajet itu mahu dilepaskan pada harga RM900,000.

Pada masa sama, Zamsaham juga dikatakan telah diarahkan oleh pihak mahkamah untuk memulangkan wang pelaburan pre-IPO kepada pelabur yang melabur RM1 juta kepada Unclezam Holdings selepas apa yang dijanjikan tidak ditunaikan.

Sementara itu, Zamsaham dalam satu kenyataan di Facebook miliknya turut bersetuju dengan cadangan TMJ sebelum ini untuk pihak pengurusan mengadakan forum dengan peminat.

Beliau turut memberitahu telah meminta pihak pengurusan untuk mengatur perjumpaan dengan peminat selepas beliau pulang dari urusan kerja di luar negara.

Kita harapkan segala kemelut yang berlaku di Kelantan dapat diselesaikan dengan baik kerana amat merugikan jika masalah berlanjutan.