Ada sinar dalam kegelapan, Sukan SEA 2023 tunjukkan Malayan Tigress ada masa depan

253

Malayan Tigress secara rasmi mengakhiri kempen Sukan SEA 2023 semalam selepas tersingkir daripada peringkat kumpulan, dengan menduduki tangga terakhir Kumpulan B.

Walaupun tewas kesemua perlawanan, banyak sebenarnya perkara positif yang boleh diambil daripada penampilan skuad negara dalam edisi kali ini.


Malaysia tewas 3-0 pada perlawanan pertama menentang Vietnam, kemudian tewas 1-0 menentang Filipina, sebelum akur tunduk 5-1 kepada Myanmar.

Mungkin bagi mereka yang tidak cakna tentang perkembangan bola sepak wanita di Malaysia, tersingkir daripada peringkat kumpulan itu adalah satu lagi perkara biasa yang tidak mengejutkan, tetapi bagi mereka yang mengikuti arena bola sepak wanita di negara ini, kempen kali sebenarnya boleh dibanggakan dan membawa 1001 harapan.

Pada edisi lalu di Vietnam, Malaysia tidak turut serta dalam acara bola sepak wanita selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk tidak menghantar wakil mengambil kira kekuatan lawan di pentas antarabangsa selain pencapaian negara dalam dua temasya terakhir.

Kali terakhir Malayan Tigress tampil dalam kejohanan Sukan SEA adalah pada edisi 2019, di mana Malaysia yang ketika itu di bawah kendalian Jacob Joseph turut menamatkan saingan ditangga tercorot kumpulan di belakang Myanmar dan Filipina.

Ketika itu, Malaysia tewas 5-0 kepada kedua-dua lawan itu, dan gagal menjaringkan sebarang gol langsung.

Namun, apa yang berbeza kali ini adalah persembahan yang ditunjukkan oleh pemain negara lebih kemas, tersusun dan bersemangat berbanding pada tahun lalu, yang boleh dikatakan agak longlai dan tiada hala tuju.

Dari segi permainan, dapat dilihat gaya permainan moden diaplikasikan, cuma kekurangan pengalaman dan persiapan yang singkat menyebabkan ia tidak dapat dipersembahkan dengan baik.

Kali ini, Malayan Tigress juga hampir melakukan kejutan untuk mengikat pasukan Piala Dunia, Filipina jika bukan kerana gol pada minit terakhir permainan yang dijaringkan oleh pihak lawan.

Malaysia juga tampil dengan ramai muka baharu yang hanya mempunyai 25 hari persiapan untuk kejohanan itu, berbanding pasukan-pasukan lawan yang memang diketahui kemampuan mereka.

Seperti yang dikatakan oleh ketua jurulatih, Soleen Al-Zou’bi, beliau bangga dengan persembahan anak-anak buahnya pada Sukan SEA kali ini dan mengakui bahawa pasukan ini mempunyai masa depan.

Keputusan FAM untuk membawa masuk Soleen bagi melakukan revolusi dalam bola sepak wanita adalah satu perkara yang harus dipuji, dan dapat dilihat sejak beliau menjalankan tugasnya, terdapat peningkatan dalam bola sepak wanita.

Namun, usaha itu harus dipertingkatkan lagi kerana ia barulah permulaan, dan Malaysia ada banyak lagi yang perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap bola sepak wanita.

Walaupun Malaysia harus akur tersingkir daripada peringkat kumpulan lagi pada Sukan SEA kali ini, ia bukanlah sesuatu yang mengecewakan, tetapi menimbulkan satu harapan baharu buat peminat bola sepak.

Mungkin agak terlambat, tetapi sekurang-kurangnya wujud inisiatif daripada FAM untuk melakukan sesuatu terhadap bola sepak wanita.