Kenapa hanya ABM yang bertanggungjawab terhadap kekalahan memalukan skuad wanita?

378

Kekalahan memalukan 3-0 skuad badminton wanita negara di Sukan SEA Kemboja 2023 kepada Filipina dalam acara berpasukan wanita memberi tamparan hebat buat arena badminton negara terutama pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Susulan daripada kekalahan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai telah meletak jawatan bagi mengambil tanggungjawab terhadap persembahan hambar pemain negara.


Selain itu, BAM turut mengumumkan bahawa Pengarah Prestasi Tinggi ABM, Dr Tim Jones turut dilepaskan daripada tugasnya serta-merta.

Selepas kekalahan tersebut, Michelle ada bercakap kepada pihak media dengan mengatakan bahawa kekalahan itu tidak boleh diterima dan menegaskan bahawa beliau dan lain-lain kakitangan pegawai tertinggi ABM, termasuk Jones dan juga Pengarah Kejurulatihan iaitu Wong Choong Hann dan Rexy Mainaky harus berundur jika perkara itu tidak diperbaiki.

Jelas Michelle, mereka harus berundur jika tidak lagi dapat memberi nilai tambah buat para pemain dan mereka tidak boleh terus berselindung di sebalik alasan bahawa pemain-pemain masih muda.

Apa yang dikatakan olehnya itu adalah benar dan tindakannya meletakkan jawatan bagi mengambil tanggungjawab adalah satu perkara yang wajar diberikan penghormatan.

Tidak ramai individu yang memegang jawatan tinggi dalam badan sukan di negara ini yang berani atau bertanggungjawab untuk melakukan sedemikian.

Tetapi adakah adil hanya beliau dan Jones, dua individu dari ABM, saja yang menerima akibat daripada persembahan hambar pemain di kejohanan itu?

Di manakah wakil daripada pihak atasan BAM yang berani mengambil tanggungjawab sama seperti yang dilakukan oleh Michelle?

Tidak wajar kesalahan diletakkan sepenuhnya kepada individu yang berada dalam ABM sahaja, pihak dalam BAM juga mempunyai peranan masing-masing dalam memastikan prestasi pemain negara cemerlang.

Lagipun, bukan hanya prestasi skuad badminton wanita negara di Sukan SEA kali ini sahaja yang merudum tetapi prestasi pemain-pemain negara secara keseluruhan sejak kebelakangan ini agak tidak menentu dalam kejohanan antarabangsa.

Jadi sepatutnya bukan wakil dari ABM sahaja yang harus mengambil tanggungjawab ini, tetapi juga pihak atasan daripada badan induk badminton negara itu sendiri.