Quang Hai hanya dibeli untuk alat pemasaran Pau FC! Memang patut dikecam oleh peminat Vietnam
Pada tahun lepas peminat bola sepak Vietnam cukup teruja apabila pemain kebangsaan mereka iaitu Nguyen Quang Hai menandatangani kontrak bersama kelab Pau FC yang beraksi di Ligue 2, Perancis.
Penghijrahan Quang Hai memberi harapan cukup besar buat pemain itu dan juga seluruh peminat bola sepak di Vietnam kerana mereka berharap pemain itu dapat beraksi cemerlang bersama kelab barunya itu sekaligus dapat bantu pasukan kebangsaan.
Bagaimanapun, apa yang berlaku adalah ‘indah khabar dari rupa’ apabila beliau hanya diturunkan sebanyak 12 kali dalam saingan liga dengan jumlah minit permainan sebanyak 254 minit dan menjaringkan satu gol, dan membuat satu penampilan dalam kejohanan piala dengan minit permainan sebanyak 14 minit sahaja.
Quang Hai kemudian diturunkan ke pasukan Pau FC B yang mana pasukan itu beraksi di liga divisyen lima dan ketika bersama pasukan itu beliau diturunkan dalam empat perlawanan sahaja.
Berdasarkan semakan di laman sesawang transfermarkt, Quang Hai mempunyai kontrak bersama kelab itu sehingga Jun 2024.
Dalam pada itu, apa yang membuatkan peminat Vietnam berang adalah tindakan Presiden kelab itu, Bernard Laporte-Fray mengakui tujuan mereka membawa masuk pemain itu adalah sebagai alat pemasaran untuk menarik peminat negara itu memberi sokongan pada kelab itu.
Strategi itu membuatkan hasil apabila jumlah pengikut media sosial kelab itu melonjak naik dengan mendadak dari hanya mempunyai 20,000 pengikut kepada 222,000 pengikut.
Sejak pengakuan Laporte-Fray itu, kelab itu mendapat kecaman hebat daripada peminat Vietnam dan akibat kecaman bertali-arus yang diterima oleh mereka, kelab tersebut terpaksa mengambil tindakan untuk menyekat alamat IP dari negara Vietnam.
Apa yang berlaku kepada kelab itu adalah berpunca daripada diri mereka sendiri dan peminat berhak untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap strategi ‘kotor’ yang dibuat oleh mereka.
Ramai peminat berharap agar Quang Hai dapat mencari solusi untuk menamatkan kontrak bersama kelab itu dan berhijrah ke kelab lain satu hari nanti.