Kesetiaan pada negara sendiri lebih bagus dari bawa pemain dari luar untuk wakili negara – Soleen Al-Zoubi

290

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita, Soleen Al-Zoubi mengakui cadangan atau idea untuk membawa pemain luar (naturalisasi) untuk mewakili negara adalah baik, tetapi beliau lebih mengutamakan pemain tempatan kerana mereka mempunyai tahap kesetiaan yang tinggi kepada negara.

“Jika ada kemungkinan untuk mencari pemain dari Amerika Syarikat atau United Kingdom ia adalah idea yang bagus untuk bawa masuk pemain berpengalaman, tetapi bagi saya ada perkara yang lebih penting dari itu iaitu kesetiaan pemain terhadap negara mereka lebih baik dari bawa masuk pemain yang tidak pernah bermain untuk negara mereka.

Saya sangat bangga dengan kesemua pemain saya yang tak gentar untuk bertemu dengan pemain pemain Amerika yang mewakili Filipina,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Soleen berkata demikian selepas ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebentar tadi selepas pulang dari temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja selepas tersingkir awal selepas mengalami tiga kekalahan.


Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai persembahan skuad Malayan Tigress di Kemboja, beliau mengakui tiada apa yang mengejutkan kerana mereka sudah menjangkakan, tetapi banyak juga perkara positif yang mereka dapat sepanjang berada di sana.

“Saya sangat gembira dengan dedikasi setiap pemain dan mereka sudah memberikan yang terbaik. Kita mempunyai banyak pemain muda dalam pasukan ini jadi saya jangkakan masa depan pasukan ini cukup cerah.

Jadi saya harap pada Sukan SEA akan datang pasukan kami akan menjadi lebih kompetitif.”

Beliau pada sama sama bangga apabila anak buahnya hampir memalukan pasukan gergasi Filipina yang dalam persiapan ke Piala Dunia tidak lama lagi.

Sementara itu, Soleen berkata selepas ini beliau dan barisan kejurulatihan akan memantau perkembangan bola sepak wanita di seluruh negara bagi mengenal pasti pemain-pemain berpotensi yang sebelum ini tidak mendapat peluang.

“Kami akan melihat pemain-pemain yang mana sebelum ini kami tidak berkesempatan untuk melihat mereka kerana kebanyakan pemain yang dipanggil ketika ini adalah dari FAS Women’s Super League sahaja.

Sudah pasti selepas ini kami akan menjelajah ke seluruh negara untuk mengenal pasti pemain berpotensi untuk dipanggil menyarung jersi kebangsaan.”

Tambahnya lagi, beliau juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan akar umbi, remaja dan liga bagi memastikan bola sepak wanita di negara akan lebih kuat.