Sokongan rakyat Malaysia terhadap bola sepak wanita adalah penting buat kami – Steffi Sarge Kaur

86

Ketua pasukan skuad bola sepak wanita kebangsaan, Steffi Sarge Kaur berbangga dengan kempen Malayan Tigress dalam kejohanan Sukan SEA 2023 biarpun tersingkir di peringkat kumpulan.

Beliau berkata, adalah penting untuk pasukan bola sepak wanita negara mendapat sokongan dan semangat yang positif daripada rakyat Malaysia untuk terus maju.


“Untuk kejohanan Sukan SEA kali ini ia adalah satu penghormatan untuk kami berada dalam satu pasukan dengan dua pasukan Piala Dunia, saya sangat bangga dengan rakan-rakan dan bagi saya kami lakukan dan bagi saya kami telah tunjukkan perkara positif dari kejohanan ini.

Apa yang paling penting adakah kami perlukan sokongan berterusan dari rakyat Malaysia untuk berikan semangat yang positif buat kami,”

katanya.

Beliau beranggapan bahawa skuad wanita negara sudah bagus, namun berharap lebih ramai pemain lagi yang dapat diketengahkan untuk meningkatkan pilihan pemain.

Dalam pada itu, Steffi berkata beliau akan terus mewakili Malaysia dalam Sukan SEA akan datang sekiranya masih mampu dan diperlukan.

“Saya masih tidak pasti lagi tetapi jika ada rezeki dan masih cergas kenapa tidak.

Saya akan terus bekerja keras untuk itu dan jika saya masih lagi mampu nanti saya pasti akan teruskan.”

Beliau berharap saingan bola sepak wanita di negara ini akan lebih berkembang dan skuad Malayan Tigress akan bermain lebih banyak perlawanan persahabatan dan kejohanan antarabangsa selepas ini.

Tambahnya, Malaysia mempunyai ramai pemain muda yang bagus, dan dengan pengalaman serta pendedahan yang lebih banyak, mereka mampu melakukan sesuatu untuk bola sepak wanita di Malaysia.