Mungkin bagi anda satu gol tidak berharga tetapi bagi kami ia amat berharga – Intanserah

203

Penyerang skuad bola sepak wanita kebangsaan, Intan Sarah Anisah menyifatkan satu-satunya gol Malaysia dalam kejohanan Sukan SEA 2023 yang dijaringkan olehnya adalah amat berharga buat seluruh pasukan.

Katanya, walaupun tidak berjaya mencatat sebarang kemenangan pada temasya berkenaan, beliau menganggap mereka telah menunjukkan peningkatan dari segi gaya permainan pasukan wanita negara.


“Kita pun tahu sangat susah untuk berlawan dengan pasukan yang lebih kuat, laju dan ranking lebih tinggi dari kita, sesiapa yang mengikuti bola sepak wanita pasti setuju bahawa gaya permainan kami ada peningkatan.

Mungkin anda rasa satu gol itu tak berharga tetapi bagi kami semua ia amat berharga kerana kita tahu betapa susah untuk menjaringkan gol tersebut,”

katanya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Intanserah berkata, bermain di Sukan SEA adalah satu pengalaman yang berharga buat dirinya dan juga pemain-pemain lain dan beliau berharap ini permulaan buat bola sepak wanita negara terus berkembang.

Dalam pada itu, beliau bertekad mahu menumpukan perhatian lebih dalam bidang bola sepak sekiranya industri bola sepak wanita di negara ini lebih serius.

“Jurulatih pun ada katakan bahawa bola sepak wanita akan lebih serius tahun ini, akan ada liga nasional dan sebagainya.

Jika ini berlaku, saya sebagai pemain boleh cari peluang dalam industri ini, jika industri tak serius macam mana saya sendiri mahu serius.”

Mengenai pengalamannya pertama kali mewakili negara dalam sukan bola sepak, Intan mengakui bahawa beliau pada mulanya menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri.

Namun, dengan bantuan jurulatih dan rakan-rakan, beliau berjaya mendapatkan rentak dan faham akan tugasnya sebagai seorang penyerang.