Harimau Malaya berpeluang balas dendam terhadap Bahrain di Piala Asia 2023

832

Undian akhir Piala Asia 2023 yang berlangsung di Doha, Qatar sebentar tadi telah pun tamat dengan Malaysia telah diundi dalam Kumpulan E bersama gergasi Asia, Korea Selatan, Bahrain dan Jordan.

Ia adalah undian yang cukup baik untuk pasukan kebangsaan kerana ia adalah peluang untuk melihat sendiri tahap kemampuan skuad Harimau Malaya apabila bersaing dengan pasukan-pasukan gergasi.


Apa yang menariknya adalah skuad kendalian Kim Pan-gon akan bertemu sekali lagi dengan Bahrain pada perlawanan peringkat kumpulan nanti, sekaligus ia akan menjadi misi balas dendam buat skuad negara selepas tewas 2-1 pada kelayakan Piala Asia tahun lalu.

Untuk rekod pertemuan, Bahrain dan Malaysia pernah bertemu sebanyak 12 kali dengan skuad negara pernah menang dua kali, seri tiga dan kalah tujuh kali.

Bagi rekod 10 tahun ini, empat perlawanan di antara kedua-dua pasukan ini berpihak kepada Bahrain dengan tiga kemenangan dan hanya satu seri pada 2013 pada kejohanan Piala Asia.

Manakala pasukan yang paling kuat dalam Kumpulan E sudah semestinya pasukan Piala Dunia, Korea Selatan di mana skuad negara mempunyai sejarah yang cukup panjang, namun kini jurang antara kedua-dua negara ini jauh berbeza.

Ternyata Korea Selatan lebih hebat apabila ramai pemain-pemain mereka beraksi di liga utama di Eropah termasuk kapten mereka iaitu Son Heung-min yang beraksi bersama gergasi Tottenham Hotspur; Lee Kang-in (Mallorca); Kim Min-jae (Napoli) dan banyak lagi.

Selain itu, apa yang menariknya adalah pengendali Malaysia, iaitu Kim Pan-gon kini perlu melakukan perancangan rapi untuk memastikan skuad kendaliannya mampu memberi saingan kepada pasukan negara kelahirannya sendiri.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, Malaysia mempunyai sejarah panjang dengan Korea Selatan apabila kedua-dua pasukan ini sudah bertemu sebanyak 89 kali di mana skuad negara pernah menang 20 kali, seri 21 kali dan kalah 48 kali.

Jordan menjadi pelengkap Kumpulan E dan pastinya ramai peminat yang tak sabar untuk menyaksikan perlawanan antara kedua-dua pasukan ini kerana dua pemain utama skuad itu beraksi di Liga Super Malaysia bersama pasukan Selangor.

Dua pemain tersebut adalah Yazan Al-Arab dan Noor Al-Rawabdeh, manakala bekas pemain Kedah Darul Aman FC pada musim lalu iaitu Mahmoud Al-Mardi turut akan memperkuatkan pasukan itu.

Pada edisi lalu, Jordan berjaya mara sehingga ke pusingan 16 dan pastinya pada edisi kali ini mereka mahu memperbaiki pencapaian tersebut dan Malaysia akan menjadi salah satu penghalang untuk capai sasaran mereka.

Jordan dan Malaysia pernah bertemu sebanyak lima kali dengan berjaya memperoleh tiga kemenangan dan dua seri.

Selepas berjaya mencipta sejarah menamatkan kemarau lebih 40 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit, seluruh peminat bola sepak Malaysia mengharapkan Harimau Malaya mampu mencipta sejarah lagi atau pun sekurang-kurangnya dapat mencapai sasaran untuk mengutip empat mata.

Semoga berjaya Harimau Malaya!