Malaysia berpeluang untuk jalani kem latihan di Qatar untuk persiapan Piala Asia 2023

493

Bahang kejohanan berprestij Piala Asia 2023 semakin dirasai selepas semalam telah berlangsungnya majlis undian akhir yang berlangsung di Doha, Qatar menyaksikan pasukan kebangsaan Malaysia diundi dalam Kumpulan E.

Skuad Harimau Malaya telah diundi bersama pasukan-pasukan hebat seperti Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.


Kini ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihannya mempunyai tempoh sekurang-kurangnya tujuh bulan lagi bagi mempersiapkan pasukan sebelum kejohanan berprestij itu membuka tirainya.

Bakal berdepan dengan pasukan gergasi Asia pastinya memerlukan persiapan yang rapi supaya misi untuk mendapatkan sekurang-kurangnya empat pada dari tiga perlawanan dapat dicapai.

Skuad negara berpeluang untuk melakukan persiapan terbaik mereka apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) dengan tujuan untuk mempertingkat kerjasama bola sepak termasuk mengeratkan hubungan antara dua negara.

Terdahulu, skuad B-17 negara kendalian Osmera Omaro telah pun menjalani kem latihan di Akademi Aspire Qatar iaitu sebuah akademi sukan elit untuk pembangunan atlet muda.

Malah mereka juga telah mengharungi enam perlawanan persahabatan sebagai persiapan untuk beraksi di Piala Asia B-17 2023 yang akan berlangsung pada bulan hadapan di Thailand.

Pujian harus diberikan kepada Presiden FAM iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin atas kerjasama tersebut yang mana ia akan turut memberi ruang dan peluang kepada skuad senior yang bakal menghadapi kejohanan Piala Asia yang akan berlangsung di Doha, Qatar pada Januari 2024.

Inilah masanya untuk Hamidin ‘step up’ untuk memberi segala bantuan dan keperluan Harimau Malaya untuk persiapan Piala Asia 2023.

Sebagai Presiden FAM dan Ahli Majlis FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), Hamidin dilihat telah berjaya mengubah landskap bola sepak tanah air sejak mengambil alih tampuk kepimpinan badan induk bola sepak negara dan digelar sebagai ‘bapa bola sepak moden Malaysia’.

Mungkin FAM sudah boleh membuat perancangan untuk mengadakan kem latihan pusat di Qatar untuk pemain-pemain dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sana dengan lebih awal supaya mereka tidak akan bergelut apabila kejohanan berlangsung.

Hubungan baik di antara Hamidin dan Presiden QFA Sheikh Hamad Khalifa Ahmed Al Thani juga memungkinkan Pan-gon dan anak buahnya dapat melawat Stadium Al Janoub, Stadium Jassim bin Hamad dan Stadium Abdullah bin Khalifa yang akan menjadi venue perlawanan skuad negara nanti.

Ia akan memberi sedikit kelebihan buat skuad negara untuk memastikan apabila mereka tiba di Doha, Qatar untuk kejohanan itu mereka berada pada tahap terbaik dan bersedia untuk menggempur pasukan lawan.

Ayuh Harimau Malaya! Seluruh peminat bola sepak tanah air akan sentiasa berada di belakang anda.