Jadual peringkat kumpulan Piala Asia 2023 beri Harimau Malaya harapan layak ke pusingan 16 terakhir

820

Kedudukan pasukan-pasukan yang bertanding pada kejohanan Piala Asia Qatar 2023 dalam peringkat kumpulan akhirnya terjawab selepas majlis undian yang diadakan semalam.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama-sama juara dua kali, Korea Selatan dan dua pasukan Arab, Bahrain dan Jordan.


Malaysia akan memulakan cabaran di temasya itu bertemu Jordan pada pukul 1.30 pagi 16 Januari, sebelum bertemu Bahrain pada pukul 10.30 malam 20 Januari, manakala perlawanan terakhir bertemu Korea Selatan pada pukul 7.30 malam 25 Januari (kesemua perlawanan dalam waktu Malaysia).

Jadual ini dilihat memberi kelebihan buat Malaysia kerana bakal berdepan pasukan terbaik dalam Kumpulan E iaitu Korea Selatan pada perlawanan terakhir.

Ketika itu, kemungkinan besar Korea Selatan telah melayakkan diri ke pusingan 16 terakhir dan tidak akan meletakkan skuad terkuat mereka menentang Malaysia, tidak mustahil Harimau Malaya mampu mencuri mata daripada perlawanan berkenaan.

Namun, ujian sebenar untuk Malaysia adalah untuk mendapatkan sebanyak mata yang mungkin ketika menentang Bahrain dan Jordan.

Dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan layak ke pusingan 16 terakhir, disertai dengan empat pasukan terbaik di tangga ketiga.

Di atas kertas, cabaran besar menanti anak-anak buah Kim Pan-gon tetapi dalam bola sepak segala-galanya boleh berlaku dan tiada apa yang mustahil.

Secara realistik, Malaysia mungkin boleh melayakkan diri ke pusingan 16 terakhir sebagai salah satu pasukan tangga ketiga terbaik.

Dan untuk menjadi salah satu daripada empat pasukan tangga ketiga terbaik, Malaysia mungkin memerlukan sekurang-kurangnya empat mata, justeru ia haruslah diraih pada perlawanan menentang Jordan dan Bahrain.

Sekiranya berjaya melayakkan diri ke pusingan 16 terakhir sebagai salah satu pasukan tangga ketiga terbaik, Malaysia akan bertemu sama ada juara kumpulan A atau D, bergantung kepada keputusan kumpulan lain juga.

Jika kekuatan di atas kertas menjadi pengukur, Qatar dan Jepun masing-masing dijangka akan menjuarai kumpulan A dan D, dan mungkin menjadi lawan seterusnya untuk Malaysia di pusingan 16 terakhir.

Apa yang pasti adalah, kedua-dua perlawanan menentang juara kumpulan A dan D akan dilangsungkan pada 29 Januari.

Sekiranya Malaysia mampu melakukan kejutan untuk menduduki tangga kedua kumpulan, lawan yang bakal menanti di pusingan 16 terakhir pula adalah juara Kumpulan F.

Berdasarkan kekuatan di atas kertas, Arab Saudi dijangka tiada masalah untuk menjuarai Kumpulan F.

Untuk rekod, Malaysia belum pernah melayakkan diri ke pusingan 16 terakhir dalam tiga edisi yang pernah disertai.

Diharapkan, ‘badi’ itu mampu dipecahkan di bumi Qatar pada saingan yang akan berlangsung pada 12 Januari 2024 hingga 10 Februari 2023 itu.