Harimau Malaya mampu kejutkan Harimau Asia sekali lagi
Selepas undian akhir Piala Asia 2023 tamat semalam, ia telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada peminat bola sepak tanah air terutamanya apabila menyaksikan pasukan kebangsaan Malaysia diundi dalam Kumpulan E.
Boleh dikatakan skuad Harimau Malaya bakal berdepan misi sukar apabila diundi bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.
Berdasarkan undian tersebut, pasukan Korea Selatan menjadi pasukan pilihan untuk menjadi juara kumpulan berdasarkan FIFA ranking ke-27 dunia, jauh meninggalkan tiga pasukan lain seperti Jordan (84), Bahrain (85) dan Malaysia (138).
Walaupun bakal berdepan pasukan-pasukan yang lebih kuat, namun peminat bola sepak tanah air sebenarnya lebih teruja untuk menyaksikan perlawanan skuad negara menentang Korea Selatan.
Ini kerana kali terakhir skuad senior kedua-dua pasukan ini bertemu adalah pada tahun 2002 ketika Sukan Asia yang menyaksikan skuad negara tewas 4-0 kepada Korea Selatan.
Namun apa yang membuatkan peminat sedang hangat memperkatakan tentang perlawanan antara kedua-dua pasukan ini adalah skuad B-23 negara pernah menumbangkan pasukan gergasi itu 2-1 pada perlawanan kumpulan di Sukan Asia 2018 di Indonesia.
Ketika ini, pasukan Harimau Asia itu turut dibarisi oleh pemain bintang terkenal seperti Son Heung-min, Kim Min-jae dan Hwang Hee-chan, manakala Harimau Muda pula dibarisi oleh Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad dan ramai lagi.
Kini selepas enam tahun berlalu, ternyata terdapat perbezaan ketara dari segi perkembangan karier bola sepak antara pemain dari kedua-dua negara itu.
Ini kerana Heung-min kini beraksi bersama kelab Tottenham Hotspur di English Premier League (EPL) dan berjaya mencipta sejarah sebagai pemain dari Asia pertama yang berjaya menggondol trofi penjaring terbanyak pada musim lalu.
Rakan sepasukannya Hee-chan pula turut bermain di EPL bersama kelab Wolverhampton Wanderers F.C.
Manakala Min-jae yang beraksi bersama kelab Napoli baru sahaja mencipta sejarah apabila menjadi pemain dari Asia pertama yang berjaya menjulang kejuaraan Serie A.
Sementara itu, berbeza pula dengan tiga pemain negara Safawi, Akhyar dan Syafiq yang melalui tempoh karier naik turun sejak 2018.
Tidak dapat dinafikan ketiga-tiga pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) ini telah memperoleh pelbagai kejayaan bersama kelab itu dalam saingan domestik dan turut menimba pengalaman cukup berharga apabila dapat beraksi di AFC Champions League (ACL).
Untuk Safawi, tempat beliau dalam kesebelasan utama JDT tergugat selepas kehadiran pemain muda berbakat besar Arif Aiman telah menyebabkan prestasinya sedikit merosot, dan susulan itu beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke liga negara jiran Thai League 1 secara pinjaman ke Ratchaburi FC.
Di Ratchaburi, beliau kembali mempamerkan prestasi terbaik apabila bukan sahaja medapat minit permainan tetapi juga berjaya menjaringkan gol dan membuat bantuan gol.
Baru-baru ini, Safawi dikatakan sedang diintai oleh kelab dari K2 League yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya, tapi ia masih belum dapat disahkan.
Sementara itu, bagi Akhyar dan Syafiq pula, walaupun mereka turut mengecapi pelbagai kejayaan, namun mereka sering bergelut untuk mendapat tempat dan minit permainan bersama pasukan Harimau Selatan.
Mahu mendapat lebih minit permainan, Syafiq telah minta dipinjamkan ke kelab lamanya iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA) yang mana beliau kemudian telah kembali pada prestasi sebenar apabila bukan sahaja mendapat minit permainan, tetapi juga menjadi mesin gol buat Sang Kenari.
Malah jumlah minit permainannya di Kedah dalam tempoh singkat lebih banyak berbanding minit permainannya sepanjang di JDT. Namun tempoh pinjamannya hanya bertahan selama enam bulan sahaja selepas kelab itu memanggil semula penyerang mereka.
Manakala seorang lagi pemain iaitu Akhyar turut menerima nasib yang sama seperti Syafiq selepas berhijrah dari KDA apabila beliau sering memanaskan bangku simpanan.
Tapi Akhyar adalah seorang pemain yang ‘istimewa’ dan sangat jarang dijumpai kerana walaupun tiada minit permainan tetapi beliau sentiasa bersedia dan akan memberi impak cukup besar apabila diturunkan.
Jadi tidak hairan mengapa pengendali Harimau Malaya, Pan-gon sering menyenaraikannya dalam skuad kerana sumbangan besarnya dalam pasukan.
Menyedari misi sukar skuad negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah meletakkan sasaran untuk mengutip sekurang-kurangnya empat mata dari tiga perlawanan.
Jika ia berjaya dicapai, terdapat kemungkinan skuad negara mampu mara ke pusingan 16 berikutan format Piala Asia yang mana empat pasukan ketiga terbaik dari enam pasukan akan layak ke pusingan seterusnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, skuad negara telah memperlihatkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan.
Biarpun berada pada tahap terbaik, namun skuad negara tidak akan berdepan tekanan besar kerana peminat menyedari misi ‘mustahil’, jadi ini adalah peluang terbaik untuk mereka buat kejutan sekaligus mencipta sejarah baru buat bola sepak tanah air.