Tiga jurulatih yang sesuai untuk kembalikan semula prestasi terbaik Lee Zii Jia

1,497

Bekas pemain badminton nombor satu dunia dalam acara beregu lelaki, Tan Boon Heong menyifatkan bahawa tindakan Lee Zii Jia untuk mencari seorang jurulatih adalah bagus, tetapi beliau menegaskan bahawa Zii Jia memerlukan seorang jurulatih yang bukan hanya mengikut kata-kata beliau atau ‘yes man’.

Kini, Zii Jia sedang giat untuk mencari seorang jurulatih baru bagi persiapan Sukan Olimpik 2024 di Paris dan beliau ada memberi sedikit bayangan bahawa jurulatih baharu yang dicarinya adalah seorang yang pernah melahirkan seorang juara.


Namun ketika ini, masih tidak diketahui siapakah yang bakal menjadi jurulatihnya, tetapi terdapat tiga individu yang dilihat mungkin sesuai untuk membimbing pemain itu iaitu Kwan Yoke Meng, Datuk Tey Seu Bock dan Wong Tat Meng.

Kwan Yoke Meng merupakan bekas jurulatih pemain muda di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini, dan meninggalkan badan awal tahun ini selepas kontraknya tidak disambung.

Beliau juga pernah menjadi jurulatih kebangsaan pada tahun 1993 hingga 2003 dan beliau juga pernah mengendalikan skuad wanita B-13 Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Dengan pengalaman yang beliau ada, mungkin Yoke Meng adalah salah satu calon yang sesuai untuk melatih Zii Jia untuk Sukan Olimpik 2024.

Calon seterusnya ialah Datuk Tey Seu Bock, bekas jurulatih kepada pemain badminton terbaik Malaysia, Datuk Lee Chong Wei satu ketika dahulu.

Beliau merupakan antara tonggak penting yang membantu Chong Wei sehingga menjadi salah seorang pemain terbaik pada zamannya.

Segala kemenangan yang Chong Wei kecapi sepanjang kariernya, Seu Bock sentiasa ada bersamanya, jadi Zii Jia mungkin boleh mencuba untuk mendapatkan khidmatnya sebagai jurulatih.

Beliau juga menepati ciri-ciri yang dimahukan Zii Jia, seorang jurulatih yang melahirkan seorang juara dan mempunyai pengalaman membantu Chong Wei memenangi banyak kejohanan.

Calon terakhir adalah Wong Tat Meng, yang merupakan bekas jurulatih badminton negara pada tahun 2003-2011 dan 2013-2016, namun kini beliau berkhidmat bersama Hong Kong.

Beliau mempunyai pengalaman untuk menaikkan prestasi individu pemain yang telah dibuktikan ketika beliau menjadi jurulatih kepada bintang wanita Korea Selatan, An Se-Young menjadi antara pemain terbaik.

Selain itu, beliau juga pernah melatih Wong Mew Choo satu ketika dahulu, dan di Terbuka China 2007, Mew Choo memenangi kejohanan itu di bawah bimbingan Tat Meng, di mana ia merupakan kali terakhir pemain badminton tempatan memenangi acara itu.

Dengan didikan Tat Meng, mungkin Zii Jia boleh mengembalikan prestasinya ke tahap yang tinggi dan menjadi pemain yang lebih baik dari sebelum ini.

Tiga nama tersebut mungkin boleh dipertimbangkan oleh Zii Jia untuk memastikan dirinya berada di landasan tepat sebelum Sukan Olimpik 2024.

Beliau perlu mengambil keputusan yang betul untuk mencapai sasaran yang diletakkan untuk dirinya dan untuk para peminat yang sentiasa menyokong jatuh bangun karier beliau.