Empat jurulatih yang bakal beradu taktikal dan kebijaksanaan dalam Kumpulan E Piala Asia 2023

1,914

Cabaran Malaysia dalam peringkat kumpulan Piala Asia 2023 akhirnya diketahui pada majlis undian semalam, diletakkan dalam kumpulan E bersama-sama Korea Selatan, Jordan dan juga Bahrain.

Empat ketua jurulatih yang akan beradu taktikal dan kebijaksanaan mereka dalam Kumpulan E adalah Kim Pan-gon (Malaysia), Jurgen Klinsmann (Korea Selatan), Adnan Hamad (Jordan) dan Helio Sousa (Bahrain).


Pastinya kesemua mereka mahu membuktikan sesuatu pada kejohanan itu, memandangkan ini merupakan penampilan pertama mereka pada Piala Asia selepas mengambil alih pasukan sekarang.

Kim Pan-gon

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon membawa harapan baharu untuk bola sepak Malaysia selepas menjawat jawatan tersebut pada awal tahun lalu.

Beliau berjaya membawa Malaysia layak ke Piala Asia secara merit buat kali pertama dalam tempoh 42 tahun.

Sebelum memegang jawatan berkenaan, beliau merupakan Pengarah Teknikal untuk Persatuan Bola Sepak Korea (KFA), dan ini mungkin memberi beliau sedikit pengetahuan apabila bertemu negara kelahirannya itu.

Ketika bekerja untuk KFA, beliau merupakan individu yang merancang projek pembangunan bola sepak masa panjang untuk negara itu, selain bertanggungjawab membawa Paulo Bento sebagai ketua jurulatih.

Beliau juga pernah dilihat berada dalam satu klip video tular satu ketika dahulu yang menyaksikan Son Heung-min menangis selepas tersingkir daripada peringkat kumpulan Piala Dunia 2018.

Hubungan era antara beliau dan pasukan bola sepak Korea Selatan diharapkan mampu menjelmakan perkara positif buat Malaysia apabila bertemu pasukan itu.

Sebagai jurulatih, Kim Pan-gon pernah memenangi liga Hong Kong sebanyak dua musim, dan pernah membawa pasukan B-23 Hong Kong menjuarai acara bola sepak di Sukan Asia Timur.

Beliau juga pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik Persatuan Bola Sepak Hong Kong pada tahun 2010.

Jurgen Klinsmann

Pastinya tumpuan akan diberikan kepada pengendali dari Jerman, Klinsmann yang mempunyai reputasi yang tinggi kerana pernah membimbing pasukan besar seperti Jerman dan Bayern Munich.

Beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Jurulatih Korea Selatan selepas Paulo Bento meletak jawatan susulan kekalahan di pusingan 16 terakhir kepada Brazil di Piala Dunia 2022.

Antara kejayaannya ketika menjadi ketua jurulatih adalah membawa pasukan Amerika Syarikat menjuarai Piala Emas CONCACAF pada tahun 2013,naib juara Piala CONCACAF pada tahun 2015, serta membawa Jerman menduduki tangga ketiga di Piala Dunia 2006 dan juga Piala Konfederasi 2005.

Beliau juga pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik Jerman pada tahun 2006 dan jurulatih tahunan CONCACAF pada tahun 2013.

Sejak mengambil alih pasukan itu, beliau masih belum mencatatkan sebarang kemenangan, seri 2-2 menentang Colombia dan tewas 2-1 kepada Uruguay dalam perlawanan persahabatan.

Adnan Hamad

Ketua jurulatih Jordan, Adnan Hamad bukanlah seorang jurulatih yang asing dalam bola sepak Asia terutama di Asia Barat.

Beliau pernah melatih beberapa kelab dan negara di sekitar Asia Barat seperti pasukan Iraq, Lubnan, Bahrain dan terkini Jordan.

Di negara asalnya, Iraq, beliau pernah menjulang banyak trofi domestik seperti kejuaraan liga dan beberapa piala bersama Al-Zawraa.

Beliau juga pernah membawa pasukan Jordan, Al-Faisaly memenangi Piala AFC 2006.

Di peringkat kebangsaan pula, beliau pernah menjuarai Kejohanan AFC B-19 bersama pasukan Iraq dan juga menjadi juara Kejohanan WAFF 2002 juga bersama pasukan Iraq.

Beliau pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik AFC pada tahun 2004 dan jurulatih terbaik liga Lubnan pada musim 2005/06.

Antara semua jurulatih dalam Kumpulan E, beliau merupakan jurulatih yang paling ‘senior’ dalam kejohanan Piala Asia, pernah mengendalikan Iraq pada Piala Asia 2004 dan Jordan pada Piala Asia 2011.

Helio Sousa

Nama ketua jurulatih dari Portugal ini pastinya masih segar di ingatan peminat bola sepak Malaysia kerana pernah memacu Bahrain mencatatkan kemenangan ke atas Malaysia tahun lalu, pada kelayakan Piala Asia 2023.

Sebagai jurulatih, beliau juga mempunyai koleksi piala bersama pasukan yang pernah dibimbingnya.

Beliau pernah menjulang trofi Kejohanan UEFA B-17 dan B-19, masing-masing pada tahun 2016 dan 2018.

Bersama Bahrain, beliau pernah membawa pasukan itu menjuarai Kejohanan WAFF dan juga Piala Negara Teluk WAFF, kedua-duanya pada tahun 2019.

Antara kesemua jurulatih dalam Kumpulan E, beliau merupakan jurulatih yang paling lama bersama pasukan masing-masing, dilantik sebagai ketua jurulatih Bahrain sejak Ogos 2019.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen