Ong Kim Swee yakin Harimau Muda mampu pergi jauh jika buat persiapan lebih rapi
Bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-23, Datuk Ong Kim Swee percaya sekiranya skuad B-22 negara membuat persiapan lebih rapi mereka mampu pergi lebih jauh dalam temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Ong Kim Swee berkata demikian bagi mengulas selepas skuad B-22 negara tersingkir awal selepas mencatat dua kemenangan dan dua kekalahan, sekaligus gagal mencapai sasaran layak ke perlawanan akhir yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Sebelum kita berlepas ke Sukan SEA tempoh hari, saya pernah mengatakan bagaimana persiapan pasukan kita. Jika persiapan itu berjalan dengan baik, saya percaya kita mampu melangkah lebih jauh.
Jika melihat dari segi persiapan, kita hanya bermain dengan pasukan Singapura dan Kemboja yang mana kita berjaya menjuarai Piala Merlion. Selepas itu mereka hanya berlatih tak sampai dua minggu dan terus ke Sukan SEA. Bagi saya ia tidak memadai,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau pada masa sama turut membidas segelintir pihak yang sebelum ini lantang bersuara mengatakan bahawa temasya Sukan SEA tidak penting kerana tiada dalam kalendar FIFA, namun apabila skuad negara gagal memperoleh pingat, pihak yang sama tampil mengkritik.
Susulan itu, beliau berkata pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu dengan lebih jelas menyatakan kepentingan temasya dwi tahunan itu sebelum menghantar pasukan.
“FAM juga harus menekankan kepentingan Sukan SEA sebelum kita hantar pasukan. Adakah kita melihat dari segi untuk mencapai pingat dengan persiapan singkat.
Jika kita mahu pingat yang lebih baik, kita harus bersiap sedia dengan lebih baik terutamanya mengadakan banyak perlawanan persahabatan berkualiti dan pemain juga harus bersama dengan lebih lama untuk mendapatkan keserasian.”
Dalam pada itu, beliau juga tidak merasai pemain berasa tertekan dengan sasaran tinggi yang diletakkan oleh FAM kerana majoriti pemain pernah beraksi pada temasya itu edisi lalu, selain ada dalam kalangan mereka yang beraksi di Liga Super.
“Ini terpulang pada percaturan jurulatih, apa yang beliau kehendaki. Pada masa sama kita perlu teliti semula secara keseluruhan apa yang kita lakukan sebelum kejohanan.”
Pengendali Sabah FC itu juga menekankan perlunya ‘post-mortem’ dilakukan samada ketika kalah atau pun apabila menang.