Nasriq Baharom hadiahkan kemenangan ke atas Harini FT buat peminat setia Imigresen FC

176

Ketua pasukan Imigresen FC (IFC), Mohd Nasriq Baharom gembira dan bersyukur apabila berjaya bangkit dari kekalahan pada perlawanan lalu dan menewaskan pasukan pilihan Harini FT 1-0 pada saingan Liga M3 malam tadi.

Menurut Nasriq, kemenangan bermakna itu adalah hadiah buat seluruh peminat IFC yang sentiasa menyokong mereka sejak hari pertama.


“Minggu lepas kita tewas jadi beban itu dekat kita, tapi Alhamdulillah hari ini kita dapat selesaikan beban itu dan kita dapat berikan keputusan baik buat peminat setia.

Kita memang tahu Harini adalah sebuah pasukan yang cukup kuat dan kita berjaya kalahkan mereka,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau turut memberi pujian kepada semua rakan sepasukannya kerana memberikan aksi persembahan terbaik sepanjang tempoh 90 minit permainan.

Dalam pada itu, bekas pemain kebangsaan itu turut sempat mengulas mengenai persembahan skuad B-22 yang tersingkir awal dari temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja baru-baru ini.

“Saya ada tengok perlawanan mereka, bagi saya perlawanan semua okay tapi untuk kejohanan seperti ini kita perlukan kerjasama berpasukan dan saya melihat kita kekurangan perkara itu.”

Terdahulu skuad kendalian E. Elavarasan kandas di peringkat kumpulan selepas hanya mengutip enam mata dari empat perlawanan menyebabkan mereka gagal untuk mara ke peringkat seterusnya, sekaligus gagal mencapai sasaran yang diletakkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menyasarkan skuad negara layak ke perlawanan akhir.