Persiapan pasukan ketika saya bermain untuk Sukan SEA lebih awal berbanding sekarang ini – N. Thanabalan
Bekas penyerang kebangsaan, N. Thanabalan mengakui persiapan yang tidak mencukupi menjadi salah satu faktor mengapa pasukan kebangsaan B-22 gagal untuk mara ke peringkat seterusnya selepas tersingkir awal dari temasya Sukan SEA 2023.
“Kalau dulu macam Sukan SEA, kami buat persiapan lebih awal dari sekarang ini. Untuk pasukan sekarang ini mereka hanya membuat persiapan selama tiga bulan, itu pun tak lama sangat, seminggu kem latihan kemudian balik ke kelab masing-masing.
Tapi macam kami sebelum ini kita pernah pergi kem selama enam bulan dan pergi luar negara, jadi kami mempunyai banyak masa bersama dan ini membuatkan kami berjaya mendapatkan keserasian dengan cukup baik,”
Thanabalan mengakui skuad Harimau Muda mempamerkan permainan yang menarik tetapi akibat keserasian yang kurang menjadi punca kegagalan mereka di temasya dwi tahunan itu.
Terdahulu, beliau merupakan salah seorang pemain B-23 yang beraksi di Sukan SEA 2017 yang mana ketika itu mereka berjaya meraih pingat perak.
Dalam pada itu, pemain berusia 28 itu terpaksa akur selepas pasukannya Harini FT tewas 1-0 di tangan Imigresen FC (IFC) dalam perlawanan Liga M3 malam tadi.
Beliau berkata, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan yang menarik dengan masing-masing berbalas serangan, tetapi IFC lebih bernasib baik.
“Dua-dua pasukan buat serangan bagus dan perlawanan memang sengit, tapi orang cakap dalam bola sepak memang ada nasib baik. Kita pun ada banyak buat serangan tapi kena tiang, jadi tiada rezeki.”