Pemain yang terpilih ke Sepanyol akan timba pengalaman cukup berharga – Alejandro Marquez Navarro

329

Jurulatih kelab gergasi Villarreal CF, Alejandro Marquez Navarro gembira melihat perkembangan Akademi Bola Sepak Villarreal Malaysia selepas beliau melihat sendiri permainan pemain-pemain di situ.

Navarro atau lebih mesra dengan panggilan Nano kini berada di Akademi Bola Sepak Villarreal Malaysia untuk membuat sesi pemilihan pemain untuk dibawa berlatih di Akademi Villarreal di Sepanyol nanti.


Mengakui masih terdapat jurang di antara pemain di Sepanyol dan Malaysia, beliau berharap dengan kehadiran mereka dapat merapatkan jurang itu dari semasa ke semasa.

“Ia akan memberi pengalaman yang cukup berharga buat pemain-pemain muda ini berlatih ke Sepanyol kerana tahap bola sepak di Sepanyol sangat tinggi tapi saya gembira dengan apa yang saya lihat di sini, namun mereka perlu lebih masa untuk adaptasi dengan bola sepak Sepanyol.

Oleh sebab itu kami berada di sini untuk menerapkan metodologi Sepanyol di Malaysia supaya dapat merapatkan jurang itu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Nano bersama beberapa jurulatih dari akademi di Sepanyol turun ke Malaysia bagi sesi pemilihan yang berlangsung selama dua hari yang mana mereka akan membuat penilaian secara extensif untuk mencari seorang pemain berpotensi untuk dibawa ke Sepanyol.

Pemain yang terpilih akan diterbangkan ke Akademi Villarreal Sepanyol bagi menjalani latihan selama seminggu.

Dalam pada itu, beliau juga memuji pemain-pemain yang hadir ke sesi pemilihan di mana mereka mempamerkan aksi yang cukup positif dan sangat bermotivasi.

Beliau juga berharap dengan kewujudan Akademi Villarreal di Malaysia mereka dapat menerapkan corak dan gaya permainan bola sepak di Sepanyol.

“Fokus kami di sini adalah untuk mengajar mengenai corak permainan dan bagaimana untuk memahami setiap perlawanan. Saya juga berharap ilmu yang mereka belajar di sini dapat membantu mereka pada masa hadapan mereka.”