Akademi bola sepak di Malaysia kini seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’
Tidak dapat dinafikan bola sepak adalah sukan nombor satu di dunia termasuk di Malaysia dan dimana-mana sahaja anda pergi pasti ada orang yang akan berbicara mengenai sukan bola sepak.
Malah sukan bola sepak ini dimain pada setiap hari tidak kira tempat dan waktu, namun disebalik populariti sukan di negara ini, namun pasukan bola sepak kebangsaan masih lagi lagi bergelut untuk bersaing dalam kejohanan di rantau Asia Tenggara.
Bagaimanapun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bola sepak tanah air semakin memperlihatkan peningkatan yang positif dengan kehadiran ramai pemain warisan dan juga pemain naturalisasi yang memperkuatkan pasukan.
Kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan ketika ini telah menyaksikan semakin ramai peminat bola sepak tanah air yang sebelum sudah tidak lagi mengikuti perkembangan bola sepak tempatan sudah kembali memberi sokongan.
Minat terhadap sukan bola sepak turut menyaksikan semakin ramai ibu bapa di luar sana yang kini mula menghantar anak-anak mereka untuk menyertai akademi bola sepak berikutan akademi bola sepak di negara ketika ini umpama ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.
Ini kerana sebelum ini tidak ramai yang boleh menyertai akademi bola sepak kerana tidak banyak akademi yang ada selain jika ada sekalipun, hanya pemain-pemain terpilih sahaja yang akan dapat menyertai akademi tersebut.
Mungkin ramai yang tidak menyuarakan masalah utama dalam kalangan pembangunan bola sepak akar umbi ini iaitu masalah kroni dan pilih kasih antara pemain-pemain muda ini.
Biarpun ada yang menafikan perkara ini dengan mengatakan perkara sebegitu tidak wujud, namun bagi mereka yang berada dalam sukan bola sepak terutamanya di peringkat sekolah sudah pastinya tahu kewujudan situasi ini.
Apa yang berlaku ini bukan sahaja membuatkan seseorang pemain berbakat yang dinafikan peluangnya kecewa dan putus asa, tetapi ia secara tidak langsung akan merugikan negara kerana kehilangan seorang pemain berkualiti.
Namun perkara seperti itu sudah dapat dikurangkan apabila kanak-kanak yang mempunyai minat atau yang belum pernah terdedah dengan bola sepak kini mempunyai ruang dan peluang mengasah bakat atau menerokai dunia bola sepak.
Malah dengan kewujudan akademi-akademi bola sepak ketika ini telah merancakkan lagi program pembangunan akar umbi di negara sehingga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu merangka perancangan rapi untuk pastikan ia dilakukan dengan betul dan sistematik.
Kini pemain-pemain di akademi bola sepak di seluruh negara mempunyai peluang untuk memperlihatkan bakat-bakat mereka di peringkat kebangsaan apabila mereka dapat menyertai Liga Suparimau.
Menariknya, Liga Suparimau ini mempertandingkan banyak kategori umur dengan bermula dari B-6 sehingga B-16, sekaligus dapat memberi peluang kepada pemain untuk beraksi dalam perlawanan kompetitif sejak usia yang masih muda.
Apa yang membuatkan pemain-pemain di akademi akan bersungguh-sungguh adalah aksi mereka di mana-mana kejohanan akan dipantau oleh akademi elit di negara seperti Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang mana ia menjadi impian setiap pemain-pemain muda untuk bermain di akademi itu.
Ini kerana AMD mempunyai kemudahan dan fasiliti berkelas dunia kerana pemain yang memasuki akademi itu bukan sahaja akan menjalani latihan bertaraf antarabangsa, mereka juga akan diberi pendidikan seiring dengan bola sepak.
Malah mereka juga mempunyai peluang besar untuk terbang ke luar negara bagi bersaing dalam kejohanan antarabangsa dan kebanyakkan pemain dari akademi ini akan menyarung jersi kebangsaan.
Selain AMD, Akademi JDT juga merupakan antara akademi terbaik di Malaysia ketika ini apabila ramai pemain-pemain muda pasang impian untuk sertai gergasi Harimau Selatan itu.
Pencari bakat Akademi JDT juga sangat aktif di seluruh Malaysia apabila mereka sering hadir pada perlawanan-perlawanan akademi lain untuk memancing pemain berbakat.
Dalam pada itu, ada juga akademi yang menawarkan peluang untuk pemain mereka untuk menimba pengalaman di luar negara sekiranya mempunyai potensi besar.
Antaranya adalah Akademi Bola Sepak Villarreal Malaysia yang mana ia adalah sebuah cawangan akademi dari kelab bola sepak gergasi di Sepanyol.
Pada hujung minggu ini iaitu pada 13 dan 14 Mei, beberapa jurulatih Villarreal dari Sepanyol telah turun di Malaysia bagi melakukan sesi pemilihan pemain yang mana seorang pemain yang berpotensi akan diterbangkan ke Sepanyol untuk menjalani latihan selama seminggu di Akademi Bola Sepak Villarreal Sepanyol.
Kerjasama ini juga akan menyaksikan sekiranya pemain yang terpilih ke Sepanyol memperlihatkan prestasi yang cukup cemerlang apabila bersaing dengan pemain akademi di sana, pemain itu akan mendapat peluang untuk diserap untuk bermain di sana.
Tidak mustahil untuk melihat akademi-akademi bola sepak di negara selepas ini akan mula melihat lebih jauh dengan menjalin kerjasama dengan akademi bola sepak di luar negara supaya lebih ramai pemain tempatan mendapat peluang untuk beraksi di peringkat tertinggi.
Apa pun diharap bola sepak tanah air akan terus meningkat dan maju supaya kita dapat menjadi sebuah pasukan gergasi di Asia satu hari nanti.
Walaupun tampak mustahil, tetapi dalam dunia bola sepak tiada apa yang mustahil.
Majulah sukan bola sepak demi negara!