Liga Besbol Malaysia buat julung kali akan dianjurkan pada Jun ini!

143

Sukan besbol sebenarnya sudah lama bertapak di Malaysia, namun ia tidak sepopular seperti sukan lain seperti bola sepak, badminton, hoki dan lain-lain menyebabkannya ramai yang tidak tahu kewujudannya.

Namun kini semuanya bakal berubah apabila Liga Besbol Malaysia akan diperkenalkan buat julung kalinya pada Jun ini.


“Untuk Liga Besbol Malaysia atua ia akan dikenali sebagai Aeon Big Bubbles 02 MBL 2023 kita akan menyaksikan perlawanan pertama 10 Jun 2023 dan akan berakhir sekitar bulan Julai bergantung kepada keadaan cuaca.

Sebanyak lapan negeri akan bertanding yang mana untuk liga ini hanya untuk lelaki terlebih dahulu,”

ujar Presiden Persatuan Besbol Malaysia, Sazali Hussain kepada Harimau Malaya.

Menurut Sazali antara pasukan yang akan bertanding adalah dari Perlis, Perak, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur dan beberapa lagi.

Saingan liga itu akan berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang akan menjadi homeground kepada Liga Besbol Malaysia.

Dalam pada itu, beliau turut berkata akan memperkenalkan saingan liga untuk wanita pula selepas ini yang mana ia akan menjadi yang pertama di Asia Tenggara.

“Bagi pihak konfederasi kami akan berbincang dan merangka selepas pulang dari Hong Kong yang mana kita akan ada liga wanita sendiri yang merupakan pertama di Asia Tenggara.”

Pasukan besbol wanita negara akan terbang ke Hong Kong pada Jumaat ini bagi menghadapi perlawanan peringkat kumpulan kelayakan Besbol Piala Dunia.

Sementara itu, Sazali turut mendedahkan bahawa satu lagi berita baik buat sukan besbol apabila mereka akhirnya akan mendapat padang sendiri hasil inisiatif satu sukan satu padang yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia Dan Sukan (KBS).

“Hasil pertemuan dengan YB Menteri Hannah Yeoh sangat positif. InsyaAllah dalam masa terdekat ini kita akan menyaksikan satu lagi sejarah untuk besbol Malaysia.

Inisiaitif daripada pihak kerajaan untuk satu sukan satu homeground bakal terlaksana. Kita sedang menanti beberapa pengesahan terutamanya dari pihak UPM. Saya rasa dalam masa terdekat kita akan mendengar berita baik.”

Tambahnya lagi, padang besbol yang bakal dibina kelak akan menepati piawaian antarabangsa sekaligus akan memberi kelebihan buat pemain-pemain negara untuk membiasakan diri dengan keadaan padang yang sebenar.

Ini kerana sebelum ini ketiadaan padang besbol yang sebenar menyebabkan mereka sering memerlukan masa untuk menyesuaikan diri apabila bertanding di luar negara.